Fri. Jul 18th, 2025

Satu babak dramatik daripada drama bersiri popular TV3, Keluarga Itu, kini menjadi fenomena di TikTok apabila berjaya meruntun jiwa jutaan penonton. Momen menyayat hati yang memperlihatkan watak Dhamiah (Puteri Balqis) dan Aman (Amir Ahnaf) meratapi kematian bayi mereka, Jihad, telah meraih jutaan tontonan serta ribuan komen penuh emosi dalam masa singkat.

Adegan memilukan itu menyaksikan Dhamiah menjerit dalam keadaan histeria selepas menjumpai mayat bayi yang dipercayai anaknya yang telah lama hilang. Jeritan pilu dan raungan tanpa henti dari Dhamiah memberi gambaran kesedihan yang begitu mendalam, manakala Aman pula tergamam dan akhirnya rebah akibat terlalu terkejut. Aksi penuh penghayatan itu dipuji sebagai antara babak paling realistik dan mengesankan dalam keseluruhan drama.

Rata-rata pengguna TikTok memuji kekuatan lakonan Puteri Balqis dan Amir Ahnaf yang dianggap terlalu hidup, penuh penghayatan dan begitu menyentuh hati. Antara komen tular yang membanjiri ruang komen termasuklah, “Part Aman pengsan tu aku banjir,” dan “Menjadi betul lakonan Mia, pandai betul Aqish pegang watak.” Malah, ramai berpendapat kedua-dua pelakon muda ini wajar dicalonkan untuk anugerah atas mutu lakonan yang luar biasa.

Selain menyentuh perasaan, babak tersebut turut mencetuskan pelbagai teori daripada penonton mengenai siapakah dalang sebenar di sebalik kematian tragik bayi Jihad. Ketegangan yang semakin memuncak ini membuatkan peminat tidak sabar menantikan kesudahan kisah Dhamiah dan Aman.

Keluarga Itu turut dibarisi pelakon berprofil tinggi seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Melissa Campbell dan Izara Aishah. Gabungan bakat generasi lama dan baharu ini menjadi tunjang kekuatan drama yang menyentuh pelbagai aspek kekeluargaan dan nilai kasih sayang.

Episod terakhir drama ini bakal disiarkan pada 9 Mei ini, hari Jumaat, jam 9.00 malam hanya di TV3. Bagi mereka yang ingin menonton lebih awal, anda boleh strim episod tersebut 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau menerusi aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk perkembangan lanjut dan kandungan eksklusif tentang drama-drama TV3, ikuti media sosial rasmi mereka di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta laman Instagram @dramasangat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *