Peminat kucing jangan lepaskan peluang! Esok tepat jam 9.00 malam di TV3, penonton bakal dihiburkan dengan aksi manja si comel Chibbu, kucing kesayangan Sharifah Nurulawwal atau lebih dikenali sebagai Awwal, kakak kepada pelakon popular Sophia Albarakbah.
Keluarga Albarakbah memang terkenal dengan kecintaan terhadap kucing malah ada yang membela sehingga 22 ekor si bulus! Namun, Chibbu tetap menjadi bintang utama. Bukan sekadar rupa yang comel, Chibbu punya keunikan tersendiri daripada tabiat peliknya suka makan buah tembikai hinggalah kegemarannya diurut bak manusia.

Lebih istimewa, setiap kostum yang digayakan Chibbu direka sendiri oleh Awwal, yang juga seorang pereka fesyen. Untuk pentas akhir kali ini, Chibbu bakal tampil dengan tema Kerajaan Mesir Purba lengkap dengan fabrik eksklusif dan hiasan batu permata, selepas berjaya memukau juri dengan gaya lanun semasa sesi ‘pre-judging’ lalu.
Komitmen Awwal sebagai ‘cat parent’ jelas terserlah apabila setiap butiran kecil diberi perhatian, semata-mata mahu memastikan Chibbu meninggalkan kesan di malam kemuncak Cat Fashion Week.
Adakah Chibbu akan berjaya merangkul gelaran juara ‘meow-jikan’ tahun ini? Sama-sama kita saksikan kehangatan pentas akhir Cat Fashion Week esok, jam 9.00 malam, hanya di TV3!