Kerjaya seni Razzuan Rosli sebagai pelakon menunjukkan dia cukup berbakat untuk menarik pengikutnya sendiri. Malah, dia yang muncul kerjaya dengan single Universal Music Malaysia “Akur” pada 2022 mengambil peluang baharu dalam karier nyanyiannya.
Pengalaman merakamkan single sulung itu adalah detik yang cukup berharga dalam hidupnya. Menyedari kerjaya nyanyian sudah cukup sebati dalam diri, Razzuan kini muncul dengan single Cinta Kayangan yang membawakan tema cinta itu buta. Dalam lagu ini, Razzuan dengan penuh kebijaksanaan menggambarkan bagaimana cinta itu pada hakikatnya adalah sesuatu yang subjektif. “Cinta adalah sesuatu yang subjektif, tapi cinta itu buta sebenarnya. Sebab dalam hidup ini kadang kala kita jumpa dengan orang yang kita rasa kena dengan kita, tapi sebenarnya tidak. Jadi, kita tidak boleh nak bersama atau meneruskan perhubungan itu.
“Terkadang apa yang kita rasakan tidak selaras dengan kenyataan dan hubungan itu mungkin hanya angin lalu. Perkara ini menjadi peringatan bagi semua orang bahawa tidak semua pertemuan adalah takdir dan bukan semuanya harus dilanjutkan atau dipertahankan,” kartanya.
Dengan suara emasnya dan lirik lagu yang memukau hati, Razzuan membawa pendengarnya dalam perjalanan mendalam mengenal erti cinta sebenar dalam lagu Cinta Kayangan. “Kenapa tajuk lagu ini Cinta Kayangan sebab cinta tu sesuatu yang mahal. Untuk kita memahami sebuah perkataan cinta itu bukan semudah kita nak faham ABC. “Disebabkan itu juga, saya cuba nak sampaikan lagu yang bermesej cinta.
“Kita lahir atas muka bumi ini juga daripada benih cinta. Bumi ini pun disebabkan cinta, perasaan cinta yang terjalin antara dua insan. Jadi, itu antara sebab kenapa saya memilih lagu Cinta Kayangan ini,” katanya. Berkongsi mengenai video muzik lagu Cinta Kayangan ini, Razzuan berkata ia berkonsepkan pengorbanan dalam mencari kebahagiaan.
“Dalam video muzik ini, ia menggambarkan betapa seseorang harus bersedia untuk melepaskan apa sahaja yang menjadi penghalang antara dirinya dan kebahagiaan yang diimpikan. Pengorbanan bukanlah perkara mudah tetapi ia adalah langkah penting dalam perjalanan mencapai kebahagiaan hakiki. Jadi, menerusi video muzik ini saya mahu mengajak penonton untuk merenung dan melihat betapa berani dan gigihnya seseorang sanggup melakukan pengorbanan demi mencapai impian mereka.
Apa yang pasti, Razzuan berharap lagu Cinta Kayangan dapat diterima baik oleh peminat sekali gus menghayati mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini. “Saya berharap dengan tulus agar pendengar dapat menyambut lagu Cinta Kayangan ini dengan penuh kehangatan dan kesukaan. Lagu ini tidak hanya memberikan hiburan semata, tetapi juga mengandungi mesej yang mendalam dan cerita yang ingin disampaikan.
Cinta Kayangan kini boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 26th Januari 2024, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.