Filem aksi blockbuster tanah air, Blood Brothers: Bara Naga, terus mencipta sejarah apabila berjaya mengutip RM50 juta hanya dalam tempoh 14 hari tayangan, termasuk tayangan awal! Ini bukan sekadar pencapaian – ini adalah satu fenomena perfileman tempatan yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Sejak tayangan perdana, sambutan penonton cukup luar biasa. Media sosial dipenuhi dengan ulasan positif, reaksi spontan, serta video ulang tonton daripada peminat yang tidak puas menyaksikan babak pembukaan selama 10 minit yang kini dianggap antara babak aksi terbaik pernah dihasilkan dalam filem Malaysia.
Pengarah filem, Syafiq Yusof, dan penerbit, Abhilash Chandra, meluahkan rasa syukur terhadap kejayaan yang dicapai. “Kami amat terharu dan bersyukur dengan sambutan luar biasa ini. Kutipan ini bukti kepercayaan penonton terhadap naskhah tempatan berkualiti tinggi. Terima kasih kerana menyokong kami dari hari pertama,” ujar mereka.
Blood Brothers: Bara Naga bukan sekadar filem – ia sebuah pengalaman sinematik eksklusif yang hanya dapat dirasai secara menyeluruh di pawagam. Dari visual sinematik yang megah, bunyi yang menggegarkan dewan, hingga detik-detik sunyi yang membuatkan penonton terdiam serentak – ini adalah tontonan yang tidak boleh dialami di rumah atau telefon pintar.

Menambah lagi kehangatan, Primeworks Studios turut berkongsi satu klip eksklusif babak pertarungan pertama di Instagram yang telah meraih perhatian besar dalam masa singkat. Namun, penonton digesa untuk menyaksikan versi penuh di panggung bagi merasai impak sebenar setiap aksi yang dipersembahkan.
Filem ini membawa satu pesanan penting – filem tempatan juga mampu mencetuskan pengalaman luar biasa, setanding dengan produksi antarabangsa. Ia menggabungkan emosi, aksi dan seni sinematografi yang hanya dapat dihargai sepenuhnya apabila ditonton bersama komuniti penonton lain di layar besar.
Buat peminat di Kedah dan Pulau Pinang, bersedia untuk lebih kehangatan! Barisan pelakon utama akan menjelajah ke utara tanah air dalam Jelajah Bara Naga hujung minggu ini. Jangan lepaskan peluang bertemu mereka secara langsung – bergambar, berbual dan rasai sendiri aura luar biasa yang telah menjadikan filem ini satu fenomena.