Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus memperkukuh peranannya dalam memartabatkan seni dan budaya di ibu kota menerusi pengenalan Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, satu inisiatif berterusan yang bertujuan menghidupkan semula Panggung Anniversari sebagai antara pentas seni paling ikonik dan bersejarah di Kuala Lumpur. Sejak awal penubuhannya, Panggung Anniversari telah menjadi saksi kepada perjalanan panjang seni tanah air, merangkumi muzik, teater, puisi, tarian tradisional serta persembahan moden dan eksperimental yang merentas generasi. Lebih daripada sekadar sebuah lokasi persembahan, panggung ini merupakan sebahagian daripada memori kolektif warga kota dan identiti budaya Kuala Lumpur.
Sebagai pembuka tirai kepada siri program Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, DBKL menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS) akan mempersembahkan Konsert Gegar Panggung, menampilkan dua kumpulan legenda rock tanah air, Search ‘Kiddin’ dan Spider, dalam sebuah persembahan percuma di pentas terbuka Panggung Anniversari. Konsert ini dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 24 Januari 2026, bermula jam 8.30 malam di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, dan dijangka menjadi antara acara tumpuan awal tahun.
Malam penuh nostalgia ini akan dimulakan dengan persembahan oleh Tom Raja Farah, diiringi Kombo dan Artis Budaya DBKL, sebelum pentas digegarkan dengan ledakan irama rock oleh Search ‘Kiddin’ dan Spider. Acara ini akan dihoskan oleh Nadia Hasnan, menjanjikan pengalaman hiburan yang bertenaga dan sarat kenangan buat para peminat muzik rock tanah air.

Penampilan Search ‘Kiddin’ dan Spider sememangnya dinanti-nantikan, memandangkan kedua-dua kumpulan ini sering mencatatkan rekod tiket habis terjual bagi konsert berbayar mereka. Justeru, peluang menyaksikan persembahan legenda rock ini secara percuma merupakan satu penghargaan istimewa DBKL kepada warga kota dan pengunjung Kuala Lumpur, bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan peringkat Kuala Lumpur serta menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026). Inisiatif ini secara tidak langsung mengukuhkan imej Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan budaya yang dinamik dan berdaya saing.
Bagi memeriahkan lagi suasana, jualan makanan dan minuman akan dibuka seawal jam 5.00 petang, dan pengunjung digalakkan hadir lebih awal untuk menikmati suasana santai di sekitar panggung serta mendapatkan tempat duduk yang lebih selesa. Sebagai salah satu fasiliti persembahan dalam jajaran Warisan Kuala Lumpur, Panggung Anniversari memiliki nilai sejarah yang tinggi sebagai ruang rehlah seni dan titik pertemuan budaya masyarakat bandar.
Menyedari kepentingan legasi ini, DBKL telah merangka sebanyak 40 acara pelbagai genre yang akan dilaksanakan hampir setiap minggu sepanjang tahun 2026, bermula seawal Januari. Program-program ini dirancang secara inklusif dengan penglibatan penggiat seni lama dan baharu, bertujuan meneruskan legasi Panggung Anniversari sebagai pentas seni ikonik negara, menyediakan platform kreatif merentas generasi dan genre, serta menyokong agenda pemuliharaan warisan bandar di bawah inisiatif Warisan KL.
Semarak Seni @ Panggung Anniversari dianjurkan oleh DBKL melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS), dengan sokongan kewangan daripada Kementerian Kewangan Malaysia. Melalui inisiatif ini, Panggung Anniversari dijangka kembali berfungsi sebagai nadi seni dan budaya kota, sekali gus menjadi ruang hidup yang terus mencipta kenangan serta membina sejarah baharu untuk generasi akan datang.
Panggung Anniversari — dulu, kini, dan selamanya.
