Nama Altus Prohouse bukan lagi asing dalam penganjuran konsert berskala besar di Malaysia. Dengan rekod kejayaan yang membanggakan dalam pelbagai acara terdahulu, kredibiliti mereka sebagai peneraju penganjuran seni tidak dapat disangkal lagi. Tahun ini, Altus Prohouse sekali lagi muncul di hadapan, bukan sekadar untuk mencipta kejayaan, tetapi untuk menandakan satu detik sejarah industri hiburan tempatan.
Sheila Majid 40 Years in Music itulah nama konsert mega yang akan dipersembahkan oleh Altus Prohouse dengan kerjasama TopGallant Show. Lebih daripada sekadar sebuah konsert, ia adalah perayaan gilang-gemilang meraikan empat dekad perjalanan seni seorang legenda hidup Sheila Majid, Ratu Jazz negara yang telah menawan hati jutaan peminat sejak era 1980-an.
Dijadual berlangsung pada 8 November 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, konsert ini akan menjadi pentas penuh warna yang menghimpunkan karya-karya agung Sheila Majid seperti Sinaran, Legenda, Antara Anyer dan Jakarta, dan Hitam Putih Kehidupan lagu-lagu ikonik yang terus hidup merentas generasi.
“Sheila Majid 40 Years in Music bukan konsert tribute biasa. Ia adalah perjalanan karier yang terus hidup. Ia adalah bukti bahawa relevannya seorang seniman tidak pernah mati dengan usia, malah terus berkembang dengan masa,” kata Miselyn Yee Siew dari Altus Prohouse.
Dengan konsep yang dirangka rapi, konsert ini turut disokong oleh barisan kreatif bertaraf antarabangsa. Mac Chew, yang telah menjadi pengarah muzik Sheila sejak tahun 1987, kembali menerajui peranan penting bersama kolaborator hebat Jenny Chin. Konsert ini juga akan diarahkan oleh Jennifer Thompson, nama besar dalam dunia produksi pentas Malaysia, manakala reka bentuk pentas dan visual akan dikendalikan oleh Steve Ho, pakar pencahayaan dan LED yang pernah bekerja bersama legenda seperti Jacky Cheung dan Eason Chan.

Lebih menarik, buat pertama kalinya dalam sejarah kariernya, Sheila Majid bakal mengadakan konsert solo di Axiata Arena ruang tertutup terbesar di negara ini. Untuk memberikan pengalaman istimewa, konsert ini turut memperkenalkan ZON PARTI Eksklusif, ruang premium dengan meja koktel untuk peminat yang ingin merasai momen lebih dekat dan meriah bersama sang legenda. Pemegang tiket ZON PARTI juga akan menerima Pek Parti dengan kejutan istimewa yang akan diumumkan tidak lama lagi.
“Saya anggap konsert ini sebagai tanda penghargaan buat semua insan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan saya. Empat puluh tahun bukan sesuatu yang mudah, dan saya bertuah kerana dikelilingi oleh peminat setia serta tenaga-tenaga luar biasa yang sentiasa membantu saya untuk terus berdiri di pentas ini,” ujar Sheila Majid dengan penuh rendah hati.

Tiket akan mula dijual pada 17 Julai 2025 jam 10 pagi di laman web rasmi www.ticket2u.com.my/sheilamajid40. Harga tiket bermula dari RM268 hingga ke RM3,400 untuk ZON PARTI. Pembeli dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh mendapatkan tiket melalui saluran khas menerusi WhatsApp di talian +6019-595 1931.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam yang bakal terpahat dalam lipatan sejarah seni tanah air. Sheila Majid 40 Years in Music bukan sahaja merayakan perjalanan seorang artis, tetapi juga sebuah era yang telah membentuk identiti muzik Malaysia. Tandakan kalendar anda 8 November 2025 akan menjadi malam paling bermakna selepas hari ulang tahun dan Hari Raya.
Sejarah ini hanya berlaku sekali. Jangan biarkan ia berlalu tanpa anda.