Wed. Aug 6th, 2025

Penyanyi bersuara emas, Syamel, kembali dengan sebuah karya balada penuh emosi berjudul Berakhir Kita, hasil ciptaan duo berbakat Shazriq Azeman dan Omar K, yang turut bertindak sebagai penerbit. Lagu ini merupakan kerjasama antara Universal Music Malaysia, Maison Management, dan Global Keynote Sdn. Bhd.

Mengangkat tema cinta yang tidak kesampaian, Berakhir Kita merungkai rasa pilu dan kehilangan apabila sebuah hubungan terhenti sebelum sempat bermula. Liriknya menjadi luahan hati buat mereka yang pernah melihat harapan cinta musnah di depan mata, meninggalkan luka yang sukar diubati.

Bagi Syamel, pengalaman bekerjasama dengan Omar K dan Shazriq cukup menyenangkan.

“Mereka memberikan tenaga positif dan membiarkan saya mengolah lagu ini mengikut keselesaan nyanyian saya. Ia menjadikan proses rakaman lebih santai, tetapi penuh makna,” katanya.

Keistimewaan Berakhir Kita turut diperkuatkan dengan paparan visual yang akan digabungkan bersama sebuah drama bersiri akan datang. Syamel percaya gabungan melodi, lirik, dan elemen visual ini mampu memberikan impak emosi yang lebih mendalam kepada pendengar.

“Lagu ini sudah cukup menyayat hati, tetapi dengan babak-babak dalam drama tersebut, saya yakin ia akan lebih menyentuh hati penonton,” tambahnya.

Proses penghasilan lagu ini mendapat sokongan padu daripada seluruh pasukan produksi. Setiap individu yang terlibat memberi komitmen penuh, menjadikan Berakhir Kita lahir dengan jiwa dan keikhlasan.

Syamel menutup dengan harapan agar lagu ini dapat menjadi pengubat rindu dan teman buat mereka yang pernah melalui pengalaman cinta yang tidak kesampaian.

“Saya mahu lagu ini melekat di hati pendengar, dan mereka dapat melihat kisah hidup mereka sendiri di dalamnya,” ujarnya.

Berakhir Kita kini boleh distrim di semua platform digital bermula 6 Ogos 2025.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *