Tidak semua mampu bertahan selama tiga dekad dalam industri seni, namun bagi penyanyi dan personaliti serba boleh, Haiza, angka 30 bukan sekadar nombor — ia adalah lambang dedikasi, ketekunan dan cinta terhadap dunia hiburan.
Memulakan kerjaya seawal usia 15 tahun dengan lagu ikonik Dag Dig Dug… Mana Tahan pada tahun 1995, Haiza kini meraikan 30 tahun pembabitan dalam industri muzik dan hiburan tanah air. Sebagai simbolik perjalanan istimewa ini, beliau melancarkan versi baharu lagu hit tersebut, diberi judul Dag Dig Dug 3.0.
Lagu yang asalnya menaikkan nama Haiza dalam arus perdana kini diberi nafas segar dengan sentuhan muzik moden berentak ‘koplo’ namun masih mengekalkan akar dangdut yang sebati dengannya. Proses rakaman semula dilakukan di Bandung, Indonesia, Disember lalu, dengan penglibatan penerbit dan penyusun muzik terkenal, Diki Suwarjiki, serta proses mixing dan mastering oleh Ari Yujeng.
“Susunan kali ini lebih segar, lebih dinamik. Saya sendiri teruja dengan hasilnya kerana banyak perkara baharu saya pelajari sepanjang berada di studio bersama tenaga produksi Indonesia,” kata Haiza.
Bukan sahaja memenuhi permintaan peminat yang menginginkan versi lebih matang dan moden, Dag Dig Dug 3.0 juga mencerminkan evolusi vokal dan kematangan seni Haiza selepas tiga dekad berkarya.

“Saya sangat bersyukur dan hanya mampu ucapkan Alhamdulillah. Diberi peluang untuk terus berdiri dan menghiburkan peminat selepas 30 tahun bukan sesuatu yang mudah. Lagu ini adalah hadiah istimewa buat semua yang menyokong saya sejak awal,” ujarnya lagi.
Pelancaran lagu ini turut diserikan dengan tayangan perdana video muzik (MV) yang dirakam di lokasi menarik sekitar Bandung. Istimewanya, Kool 101 turut menerbitkan dokumentari khas bertajuk 3 Dekad Dag Dig Dug Haiza yang boleh ditonton bermula 21 Jun di saluran YouTube rasmi Kool 101.
Majlis pelancaran Haiza Dag Dig Dug 30 Tahun yang berlangsung di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, turut disokong oleh penaja utama resort tersebut bersama rakan penaja lain termasuk Peterana Chenta, Alpha Sound & Light, NR Cosmetic, Adabi, Pop Meals, Super Coffee, dan ramai lagi.
Acara ini juga mendapat kerjasama eksklusif daripada My Own Entertainment dan Indigital Music, menjadikan keseluruhan sambutan ini sebagai satu penghormatan besar terhadap kerjaya seni Haiza.
Dag Dig Dug 3.0 kini boleh distrim di semua platform digital bermula 20 Jun, manakala video muzik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Indigital Music.