Wed. Jun 18th, 2025

Ejen Ali kembali dengan lebih hebat! Filem animasi yang dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2, hari ini melancarkan Treler Rasmi Kedua, sekaligus mengesahkan tarikh tayangan rasmi di pawagam seluruh negara bermula 22 Mei 2025. Treler baharu ini menyusul selepas pelancaran poster utama yang hangat diperkatakan sejak semalam, memberikan gambaran awal kepada peminat tentang pengembaraan epik yang bakal menggegarkan layar perak.

Dalam sekuel kali ini, Ejen Ali tampil dengan misi lebih genting, penuh aksi dan sarat emosi yang menyentuh jiwa. Visual animasi yang dipertingkatkan dan jalan cerita yang lebih mendalam dijangka memukau penonton dari segenap lapisan usia. Sambutan hangat daripada tayangan semula filem pertama pada Februari lalu turut menyemarakkan keterujaan, ditambah pula dengan kemunculan lagu tema rasmi bertajuk Hanya Kamu nyanyian legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, yang kini trending di pelantar digital.

Treler kedua dibuka dengan suara misteri yang menyeru Ali untuk bangkit, disusuli dialog penuh emosi, “Kerja kita belum selesai…”. Babak demi babak memperlihatkan konflik dalaman yang dihadapi Ali serta pertemuannya dengan Rizwan – bekas ejen MATA yang kini muncul dengan niat yang masih menjadi tanda tanya. Ali kini berdepan cabaran baharu apabila musuh lamanya, Neonimus, kembali menabur ancaman di kota Cyberaya. Demi melindungi tanah air futuristik itu, Ali perlu menguasai sut Satria – sebuah teknologi canggih hasil inovasi agensi MATA yang belum dikuasainya sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, perubahan dalam kepimpinan organisasi MATA memperkenalkan Ejen Amir (Neuro) dan Ejen Elle (Inviso) sebagai Ketua Teras baharu, sekaligus mengubah landskap pertempuran strategik. Kemunculan semula Rizwan bersama watak antagonis Dos dan Trez menambahkan lagi konflik yang membingungkan dan mendebarkan.

Gabungan jalan cerita yang penuh ketegangan, suntingan sinematik yang bergaya, serta iringan muzik latar berentak rancak menjadikan treler ini pengalaman audio-visual yang menakjubkan. Sekuel ini dilihat membawa Ejen Ali The Movie ke tahap yang lebih tinggi dengan pendedahan kepada konspirasi baharu, pertarungan jiwa dan aksi luar biasa yang dijangka mendapat sambutan hangat di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Pengarah filem, Usamah Zaid Yasin, dalam kenyataan rasmi meluahkan rasa teruja terhadap pelancaran treler kali ini. “Kami amat bersemangat untuk mempersembahkan sambungan kisah Ejen Ali kepada para peminat di pawagam. Setiap babak dirancang teliti demi membawa pengalaman sinematik yang penuh intensiti dan emosi. Jumpa anda di pawagam bermula 22 Mei ini!”

Ejen Ali The Movie 2 diterbitkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions. Para peminat digalakkan untuk berkongsi keterujaan mereka menggunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 di semua platform media sosial menjelang tayangan.

Ikuti perkembangan terkini dan kandungan eksklusif di sebalik tabir melalui saluran rasmi Ejen Ali di YouTube, TikTok, Facebook, Instagram dan Twitter. Saksikan treler rasmi kedua sekarang dan bersiap sedia untuk menyertai misi penuh aksi yang mendebarkan ini.

Misi diteruskan, Ejens. Ejen Ali kembali di pawagam – 22 Mei 2025!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *