Wed. Jul 23rd, 2025

Sebuah karya epik bertemakan sukan, semangat perjuangan dan kebanggaan negara bakal menyinari layar perak menerusi filem berjudul “Sentuhan Wira”, terbitan syarikat tempatan Victory Pictures. Projek istimewa ini diumumkan secara rasmi dalam sebuah majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur, disaksikan oleh YB Dato’ Gerald Hans Isaac selaku wakil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Diilhamkan oleh dua lagenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit, yang turut bertindak sebagai penasihat rasmi filem, “Sentuhan Wira” membawa penonton menyusuri semula detik-detik kemenangan bersejarah Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992. Kedua-dua tokoh ini terlibat secara langsung dalam penyelidikan teknikal, pembangunan skrip dan memastikan ketepatan fakta sejarah dipelihara dalam filem yang bakal menjadi lambang penghormatan kepada skuad kebangsaan.

Tahun 1992 menjadi saksi kepada salah satu momen teragung dalam sejarah sukan Malaysia apabila pasukan badminton lelaki negara berjaya menumpaskan pasukan Indonesia dalam perlawanan akhir mendebarkan di Stadium Negara, sekaligus menamatkan kemarau 25 tahun Piala Thomas. Detik tersebut bukan sahaja diraikan sebagai kejayaan sukan, tetapi menjadi titik kebangkitan semangat patriotisme dan penyatuan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

Menurut Datuk Rashid Sidek, “Filem ini bukan sekadar tentang sukan. Ia adalah kisah perjuangan, semangat setiakawan dan kecintaan terhadap negara. Kami mahu generasi muda kembali merasai detik luar biasa itu, dan menyemai semangat yang sama dalam diri mereka.

Pengarah berbakat, Lenny Ooi, akan mengemudi filem ini dengan pendekatan pengarahan aksi yang bertenaga, menggunakan teknik sinematografi kadar bingkai tinggi (high frame rate) untuk memberikan kesan dramatik yang lebih realistik kepada babak perlawanan di gelanggang. Filem ini dijangka menyatukan elemen visual moden dan emosi nostalgia secara menyeluruh.

Menambah keunikan produksi, Victory Pictures turut mengumumkan uji bakat terbuka di seluruh negara untuk mencari wajah baharu yang bukan sahaja berbakat dalam lakonan, tetapi juga mahir bermain badminton. Pihak produksi mencari pelakon muda yang benar-benar dapat menghidupkan watak pejuang sukan era 90-an bukan sekadar dari aspek rupa dan gaya, tetapi juga dari segi semangat dan jiwa.

“Keberanian, disiplin, kesetiaan dan rasa cinta kepada negara adalah nilai-nilai penting yang kami cari dalam setiap calon. Inilah elemen yang membentuk skuad 1992, dan inilah nilai yang ingin kami hidupkan semula dalam filem ini,” ujar Lenny Ooi.

Penggambaran penuh dijadualkan bermula hujung tahun 2025, dan seluruh pasukan produksi kini dalam fasa persiapan awal untuk merealisasikan naskhah ini sebagai karya kebudayaan nasional. “Sentuhan Wira” bukan sekadar filem hiburan ia adalah penghormatan kepada wira-wira negara dan warisan semangat yang harus terus disemarakkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *