Tue. Jul 29th, 2025

Wani Kayrie membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya apabila secara rasmi melancarkan EP sulungnya berjudul “W2K” di hadapan media dan peminat setia dalam sebuah majlis eksklusif yang berlangsung meriah di MyTOWNKL. Majlis bertemakan “Wani Kayrie Listening Party” ini turut dianjurkan bersama ASR Festival oleh Ascott dan diterajui oleh label terkemuka, Rocketfuel Entertainment.

Bersama pelancaran EP tersebut, Wani turut memperdengarkan single terbarunya “Biarkan” – sebuah balada menyentuh jiwa yang menampilkan sisi paling jujur dan dewasa beliau sebagai penyanyi. Lagu ini dilihat sebagai simbol keberanian Wani dalam membicarakan perasaan yang sukar diungkap – tentang melepaskan sesuatu yang tidak lagi membawa kebaikan walau masih tersimpan rasa sayang.

Wani menyifatkan “W2K” sebagai hadiah istimewa buat peminat yang telah lama menantikan karya penuh darinya. “Setiap bait lagu dalam EP ini lahir daripada rasa percaya daripada peminat, keluarga dan juga diri saya sendiri,” katanya dengan nada penuh syukur dan sebak.

Menjelaskan pemilihan tajuk W2K, Wani berkata ia adalah akronim kepada ‘Wani 2000’ merujuk kepada tahun kelahirannya. Tetapi lebih dari sekadar angka, W2K menurutnya adalah simbol fasa baharu, suara baharu dan naratif baharu sebagai seorang penyanyi yang ingin lebih bebas berkarya dan lebih dekat dengan generasinya.

EP ini menghimpunkan lima buah lagu pelbagai gaya dan rasa: Cak Cak Cekuk, Serius Ah, Aiman Tino, Matahari dan Biarkan. Setiap satu lagu membawa suara yang tersendiri dari irama penuh semangat, ke nada jenaka, sehinggalah balada yang meruntun perasaan. Menariknya, Wani turut mengakui lagu kegemarannya adalah Cak Cak Cekuk, kerana ia meraikan kekuatan budaya dan memberi suntikan semangat dalam menghadapi cabaran hidup.

Barisan pengkarya yang terlibat dalam EP ini bukan calang-calang, termasuk nama-nama popular seperti MFMF, Ezra Kong, Omar K, Iqie Hugh, Hanis Rafi, dan ramai lagi menjadikan W2K bukan sahaja kuat dari segi vokal, tetapi juga dari sudut produksi dan gaya persembahan.

Mengenai lagu “Biarkan”, Wani menyifatkannya sebagai sebuah karya paling peribadi dan mencabar dari segi teknikal. “Saya perlu rakam lagu ini dalam beberapa sesi berbeza, tetapi tetap perlu kekalkan rasa dan emosi yang sama. Ia sukar, tapi saya puas hati dengan hasilnya,” jelasnya.

Melalui W2K, Wani mengangkat dirinya sebagai suara baharu generasi muda. Ia bukan sekadar debut mini album, tetapi juga lambang kematangan dan keberanian untuk menyampaikan emosi sebenar melalui muzik. Menurut Wani, transisi ini sangat penting selepas lebih 10 tahun dalam industri seni satu transformasi daripada remaja ke figura seni Gen Z yang lebih bebas dan versatil.

Reaksi awal daripada peminat terhadap W2K juga sangat positif. Ramai memuji variasi dalam muzik, lirik yang relatable serta kemasan produksi yang setanding dengan nama besar industri. Wani berharap EP ini akan menjadi “soundtrack harian” peminat menemani hari mereka dalam pelbagai suasana.

Sebagai penutup, Wani menitipkan pesanan yang cukup menyentuh hati: “Saya harap W2K akan beri inspirasi. Bukan hanya hiburan, tapi bukti bahawa mimpi itu boleh jadi nyata. Kalau saya boleh berdiri di sini hari ini, anda pun boleh. Percaya pada diri sendiri.”

EP “W2K” dan single “Biarkan” kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan banyak lagi. Ikuti perjalanan Wani Kayrie di media sosial rasmi untuk perkembangan dan konten terkini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *