Tue. Apr 8th, 2025

Dalam usaha untuk meringankan beban golongan yang memerlukan serta memastikan tiada komuniti terpinggir, YAYASAN MR D.I.Y. dengan kerjasama Food4u telah melaksanakan program sumbangan pek makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah kempen perayaan “Raya Penuh Makna” anjuran peruncit perkakas rumah kegemaran Malaysia, MR D.I.Y. untuk tahun 2025. Kempen ini bertujuan untuk merapatkan hubungan sesama masyarakat, berkongsi kegembiraan, dan mencipta kenangan manis. Fokus utama inisiatif ini adalah untuk memberi perhatian kepada komuniti gelandangan yang sering terhalang daripada mendapatkan makanan yang mencukupi dan berkhasiat setiap hari.

Pengagihan pek makanan telah berlangsung pada 25 Mac 2025 di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan diteruskan pada 27 Mac 2025 di Jalan Sayur, Pudu, dengan lebih 600 pek makanan disediakan. Setiap pek mengandungi hidangan lengkap seperti nasi biryani, biskut krim, roti, dan air mineral.

Menurut Encik Tony, wakil Food4u, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada YAYASAN MR D.I.Y. atas kerjasama yang terjalin dalam menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Semoga usaha ini bukan sahaja meringankan beban mereka, tetapi juga memberi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk tampil membantu komuniti yang kurang bernasib baik.”

Inisiatif sumbangan pek makanan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk bukan sekadar menyantuni mereka yang memerlukan, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya berkongsi rezeki, mengukuhkan nilai kemanusiaan, serta menanamkan rasa prihatin terhadap komuniti yang kurang bernasib baik tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.

YAYASAN MR D.I.Y. turut mengalu-alukan penglibatan lebih banyak pihak untuk bersama-sama menyokong usaha ini kerana dengan keprihatinan dan kerjasama, kita dapat membawa perubahan yang lebih besar dan menyeluruh.

Selain sumbangan makanan kepada gelandangan, YAYASAN MR D.I.Y. juga melaksanakan pelbagai program lain di bawah inisiatif ‘Raya Penuh Makna’, antaranya program bersama anak-anak dari rumah kebajikan, aktiviti kesukarelawanan, serta projek komuniti. Untuk maklumat lanjut mengenai program-program komuniti YAYASAN MR D.I.Y., sila layari laman sesawang mrdiy.com.my atau ikuti di Facebook, Instagram, dan TikTok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *