Wed. Aug 6th, 2025

Malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) yang berlangsung penuh gemerlapan di TV3 menjadi saksi detik bersejarah buat pelakon muda berbakat besar, Zarif Ghazzi, apabila beliau diumumkan sebagai penerima kategori Selebriti Newcomer Terhangat. Gelaran ini sekali gus menobatkan Zarif sebagai wajah baharu paling menyerlah dan berpengaruh dalam industri hiburan Malaysia tahun ini.

Menampilkan persona tenang, bakat yang mengagumkan serta aura yang memikat, Zarif berjaya mengatasi persaingan sengit daripada calon-calon hebat lain. Lebih istimewa, kemenangan ini hadir sepenuhnya daripada sokongan padu peminat melalui undian 100%, menjadikannya bukti nyata bahawa kuasa peminat adalah penentu utama siapa yang benar-benar layak digelar “Terhangat”.

Dalam ucapan kemenangannya yang penuh emosi, Zarif meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada TV3 kerana membuka pintu untuknya berkarya serta memberikan platform memperkenalkan bakat kepada khalayak. Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada peminat yang telah mengundi tanpa henti sejak awal perjalanan seninya.

“Saya masih terkejut… ini rezeki. Ini anugerah pertama saya, dan perjalanan saya masih panjang. Banyak lagi watak yang saya ingin perbaiki dan persembahkan untuk peminat. Terima kasih TV3 kerana memberi peluang, dan terima kasih kepada semua peminat yang percaya dan menyokong saya. Kemenangan ini milik anda semua. Ini baru permulaan, saya janji akan terus berusaha dan berikan yang terbaik,” ujar Zarif.

Kemenangan ini selari dengan tema AMT2025, “Sehebat Prestasi, Sehangat Sensasi, Bakat Tersendiri”, yang mengiktiraf individu yang berjaya mencipta nama bukan sekadar kerana sensasi semata-mata, tetapi kerana dedikasi dan bakat tulen.

Dikenali menerusi beberapa drama popular terbitan TV3, Zarif dilihat sebagai bintang masa depan yang memiliki pakej lengkap bakat, rupa dan karisma, sekaligus membawa nafas segar kepada industri hiburan tanah air. Pengumuman kemenangannya disambut dengan sorakan peminat di lokasi acara dan di ruangan media sosial, mengukuhkan lagi statusnya sebagai newcomer paling hangat ketika ini.

Dengan kemenangan ini, Zarif Ghazzi membuka lembaran baru dalam perjalanan seninya. AMT2025 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform penting untuk mengangkat bakat baharu, dan semua mata kini tertumpu kepada langkah seterusnya dalam kerjaya bintang muda yang sedang bersinar ini.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *