Tue. Oct 8th, 2024

    Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bakal mengadakan Majlis Anugerah Harta Intelek Negara yang akan berlangsung pada 26 April 2024 bersempena sambutan Hari Harta Intelek Negara 2024 (HHIN2024). Bertemakan “Harta Intelek Nadi Malaysia Madani,” HHIN2024 merupakan platform penting dalam memupuk kesedaran akan kepentingan perlindungan harta intelek yang dilihat sebagai satu bentuk kekayaan baharu dalam menjana ekonomi negara.

    Pengerusi MyIPO, Ts. Dr. Mohd Zuhan Mohd Zain mengumumkan perkara ini semasa majlis ramah mesra bersama media di ibu pejabat MyIPO dekat sini. Menurut Ts.Dr.Mohd Zuhan, penganjuran Anugerah Harta Intelek Negara adalah bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan pereka cipta, pencipta dan innovator dalam pembangunan harta intelek serta memacu pertumbuhan ekonomi negara. Terdapat lima kategori anugerah yang dipertandingkan pada tahun ini, termasuk Anugerah Teknologi Hijau, Anugerah Karya Lestari, Anugerah Milenial, dan Anugerah Permata.

    Manakala Anugerah Pembangunan Lestari Harta Intelek yang juga anugerah platinum, merupakan anugerah tertinggi yang akan diberikan kepada organisasi yang menunjukkan pengurusan harta intelek yang baik dan bertanggungjawab serta mempunyai strategi untuk menjaga dan mengguna semula sumber-sumber harta intelek mereka dalam jangka masa panjang. Setiap pemenang akan menerima piala dan juga wang tunai.

    Penyertaan masih lagi dibuka sehingga 29 februari ini dan MyIPO mengalu-alukan penyertaan daripada semua pemilik harta intelek termasuk individu dan juga organisasi serta institusi pendidikan. Maklumat pertandingandan syarat-syarat penyertaan boleh didapati di laman sesawang MyIPO di www.myipo.gov.my.

    Dalam masa yang sama, MyIPO turut Menyusun pelbagai aktiviti, termasuk seminar, pameran harta intelek, dan juga pertandingan video kreatif TikTok bersempena sambutan HHIN2024. Hadir sama dalam majlis hari ini Anggota Perbadanan MyIPO, Asmaalif Abdul Adam, Ketua Pengarah, Kamal Kormin, Timbalan Ketua Pengarah Yunieza Syarmila Yusof serta pegawai kanana media dan wartawan.

    KATEGORI ANUGERAH HARTA INTELEK NEGARA (AHIN) 2024

    Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek

    Kategori ini diberikan kepada organisasi yang menunjukkan pengurusan harta intelek yang baik dan bertanggungjawab serta mempunyai strategi untuk menjaga dan mengguna semula sumber-sumber harta intelek mereka dalam jangka masa panjang.

    Anugerah Teknologi Hijau

    Anugerah ini diberikan kepada mereka yang memiliki harta intelek yang menarik, kreatif, dan menyumbang kepada teknologi hijau dan alam sekitar. Teknologi hijau ini mestilah merangkumi aspek tenaga, kesan terhadap alam sekitar, penggunaan sumber alam, dan penggunaan teknologi baru.

    Anugerah Karya Lestari

    Anugerah ini adalah pengiktirafan yang diberikan kepada pemilik harta intelek sama ada Cap Dagangan, Hak Cipta, Reka Bentuk Perindustrian dan Paten yang mempromosikan kelestarian inovasi dan kreativiti serta memberi faedah kepada masyarakat atau negara.

    Anugerah Milenial

    Anugerah ini terbuka kepada pelajar Institusi Kemahiran dan setaraf di Malaysia yang memiliki rekacipta asli, menarik, kreatif, dan mempunyai nilai komersial.

    Anugerah Permata

    Kategori ini terbuka kepada pelajar sekolah menengah di Malaysia, termasuk pelajar Kolej Vokasional, yang memiliki rekacipta asli, menarik, kreatif, memberikan faedah kepada masyarakat atau negara, serta mempunyai nilai komersial.

    Anugerah ini dibuka kepada semua individu dan organisasi yang berkelayakan dan penyertaan untuk anugerah-anugerah ini dibuka sehingga 29 Februari 2024.

     

     

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *