KUALA LUMPUR — Platform penstriman anime terkemuka dunia, Crunchyroll, mengesahkan kepulangannya ke Anime Festival Asia (AFA) Singapore 2026 buat tahun keempat berturut-turut, menjanjikan pengalaman interaktif yang lebih mengasyikkan buat peminat di rantau Asia Tenggara. Berlangsung dari 27 hingga 29 November 2026 di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore (reruai J01), kehadiran Crunchyroll kali ini menghidupkan tiga dunia siri popular secara fizikal iaitu Chainsaw Man The Movie: Reze Arc, The Guy She Was Interested In Wasn’t a Guy at All, dan Overgeared menerusi zon bergambar bertema, aktiviti interaktif, koleksi cenderamata eksklusif, serta sesi pertemuan bersama pencipta dan pelakon suara asal dari Jepun.
Di ruang pameran utama, pengunjung berpeluang mengimbau babak ikonik di ruang foto Crossroads Café daripada Chainsaw Man The Movie: Reze Arc bersama patung bersaiz sebenar Denji dan Reze, selain berpeluang bertemu watak kesayangan ramai, Pochita, untuk memenangi cekak kepala serta pelekat eksklusif. Peminat muzik dan romantik pula boleh bergaya di reruai kedai rekod The Guy She Was Interested In Wasn’t a Guy at All menjelang tayangan perdananya pada Januari 2027, manakala peminat Overgeared boleh menguji kemahiran menyusun teka-teki senjata bersaiz gergasi bersama watak Grid bagi membawa pulang buku nota khas Pagma’s Rare Book. Lebih mengujakan, dua sesi panel khas turut diadakan menampilkan pengarah Overgeared Ayako Kono, penerbit eksekutif Nobuhiro Osawa, dan pelakon suara Tatsumaru Tachibana pada 28 November, diikuti pelakon suara Mariya Ise dan penerbit Hitomi Kuroi pada 29 November lengkap dengan sesi ramah mesra bertiket.
Selain hiburan dan pengisian acara seperti AFA Stamp Rally, ruang tontonan santai, serta tajaan rasmi AFA X Concert Night, Crunchyroll turut menjalin kerjasama bermakna bersama Make-A-Wish Singapore menerusi pemasangan Pohon Harapan (Wish Tree). Pengunjung boleh menulis mesej inspirasi buat kanak-kanak penghidap penyakit kritikal, di mana Crunchyroll akan memadankan setiap sumbangan derma pengunjung secara dollar-for-dollar sehingga jumlah keseluruhan SGD 5,000, sekali gus menyatukan komuniti anime dalam semangat prihatin.







Leave a Reply