Sun. Apr 14th, 2024

    KUALA LUMPUR, 8 November 2023 -Rancangan terbaru Mystic Village akan mula ditayangkan 30 Oktober 2023 setiap Isnin jam 9 malam. Cerita ini mengisahkan tentang penyiasatan dengan unsur supernatural, yang bertempat di Kg Sg Gelik Kiri di utara Semenanjung. Artis yang terlibat Gambit Saifullah, Kamal Adli, Yuna Rahim, Fazlina Ahmad Daud, Hafizuddin Fadzil,Neera Azizi, Anas Ridzuan dan Mubarak Majid. Drama ini diarahkan oleh Faizul Jais dan hasil tulisan penulis bersama iaitu Honey Ahmad dan Bernice Low. Semoga drama ini dapat mengisi malam penonton dengan sesuatu yang menarik. Rancangan lokal ini agar dapat mengambil hati para penonton yang menonton drama ini.

     

    Drama ini mengisahkan seorang Imam-fluencer yang pulang ke kampung halamannya setelah dikecam netizen apabila Tweetnya tentang poligami meletup serta menimbulkan kemarahan beberapa pihak Di situ dia menjumpai bakat terpendam dalam menyelesaikan misteri-misteri yang membabitkan benda-benda ghaib. Bayangkan rancangan ini bagaikan kisah Sherlock Holmes bertemu rancangan reality TV popular, Imam Muda.

     

    SINOPSIS

     

    Mystic Village adalah sebuah drama siasatan sarat dengan elemen supernatural yang mengikuti Yunus, seorang penyiasat insurans yang menjadi ustaz selebriti apabila dia memenangi naib juara siri realiti Imam Bistari. Setelah dikecam netizen dan dia pulang ke kampung, mindanya yang sentiasa ingin tahu tidak boleh duduk diam.

     

    Tengok-tengok penghulu dan orang kaya kampung, Pak Saad dijumpai mati dihempap khemah qurban. Maka kecohlah sekampung dengan teori yang Hantu Raya telah makan Tuannya i.e. penyebab kematian Pak Saad. Yunus yang yakin ini semua spekulasi karut terjebak dalam menyiasat apa yang sebenarnya berlaku. Apabila dia mendedahkan kematian itu sebagai pembunuhan dan bukan kemalangan, Yunus mula mendapat reputasi sebagai selebriti yang boleh membongkarkan misteri. Bukan sahaja seorang Imam-fluencer… tapi Imam P.I. (lagi satu gelaran yang Yunus tak tahu samada dia mahu atau tidak).

     

    Sambil dia melayan krisis identitinya, Yunus juga perlu mencari cara untuk mesra kembali dengan ayahnya yang tidak memahami hidupnya, persahabatan baru dengan seorang pemilik gerai bermulut laser dan penghulu baru Kampung Sg. Gelik Kiri yang ingin menaikkan nama kampung dengan menggunakan selebritinya. Penghulu baru ini bercita-cita tinggi dan juga ingin mencari jodoh untuk anak teruna arwah kawan baiknya.

     

    Bolehkah Yunus membongkar misteri di sebalik semua kejadian-kejadian pelik di Kg. Sungai Gelik yang semakin lama makin berkait dengan ‘pembunuhan’ Pak Saad? Tonton Mystic Village setiap malam Isnin jam 9 di Astro Channel 410 mulai 30hb Oktober.

    TEMUILAH PENDUDUK KAMPUNG KAMI

    KARAKTER

    Yunus Ismail

    Seorang penyiasat insurans yang telah menjadi Imam-fluencer, Yunus Ismail (Gambit Saifullah) seorang yang berfikiran logik walapun dia berpegang teguh pada agama. Sewaktu dia pulang ke kampung, Yunus dengan sifat ingin tahunya terjebak dalam siasatan kematian pelik dan adegan-adegan ghaib yang lain. Siasatannya untuk mencari kebenaran akan benar-benar mencabar intelek dan keimanannya.

     

    Zakaria Saad

    Zakaria (Kamal Adli), anak penghulu kampung nampaknya sudah bersedia untuk menjadi orang kaya kampung selepas ayahnya. Walaupun berlagak bongkak dan konfiden, realitinya Zakaria ditindas oleh ayahnya yang kedekut dan kejam. Setelah kematian Pak Saad, dia berpeluang mengolah hidup baru tapi adakah saka yang diwarisinya akan terus berdiam diri?

     

    Zuleikha Amin

    Comel dengan mulut laser, pemilik gerai kuih, Zuleikha (Yuna Rahim) sudah bahagia membuat kuih-muih inovatif dan kehidupan tenang di kampung. Tiba-tiba ada selebriti yang kacak lepak di gerai yang sering inginkan pendapatnya tentang hal-hal motif dan misteri. Zuleika teruja main Watson kepada Sherlock Yunus, tapi adakah hubungan mereka kawan sahaja…?

     

    Ismail Kamaruddin

    Duda yang masih segak Ismail (Hafidzuddin Fazil) terpaksa menyesuaikan diri dengan perangai anaknya, Yunus yang nampaknya akan tinggal lama di kampung. Apa sebenarnya karier anak dia pun, dia kurang pasti. Dulu arwah isterinya yang menjadi orang tengah antara mereka tapi sekarang Ismail perlu cari cara untuk berkomunikasi dengan anaknya semula.

     

    Solehah Syawal

    Janda beribawa, Solehah Syawal (Fazlina Ahmad Daud) menjumpai dirinya dilantik sebagai penghulu setelah kematian Pak Saad. Dia bercita-cita tinggi untuk menjadikan Kampung Sungai Gelik Kiri terkenal tapi bolehkah dia memberi semangat kepada AJK kampung yang lemau dan juga menghapuskan gosip-gosip yang tidak berfaedah untuk menjayakan program- Programnya?

     

    Abang Long

    Daripada gadget mengesan hantu, E-Hantu 3000 kepada online e-store, Abang Long (Anas Ridzuan) adalah bomoh alaf baru yang ingin merevolusikan cara orang berubat. Masalahnya, bomoh moden kita ni banyak menipu dan ketibaan Yunus yang alim dan logik di Sungai Gelik mengacau periuk nasinya.

     

    Mona Rahim

    Seorang isteri yang banyak bersabar, Mona (Neera Azizi) sentiasa mengharapkan Zakaria akan menjauhkan diri dari tabiat ayahnya yang bengis dan berahsia. Tapi sekarang dia mula risau yang suaminya akan merima saka arwah Pak Saad. Bila Zakaria mula berubah dan kerap simpan rahsia, dia syak yang mungkin Zakaria memang sama seperti ayahnya.

     

    Saad Abas

    Pak Saad (Mubarak Majid) adalah orang terkaya di Gelik Kiri. Menurut gosip kampung kekayaan dan libidonya (khabarnya dia sendang mencari bini lagi satu) adalah kerana saka yang dibela. Bila kematiaannya ternyata bukan kerana kemalangan, ramai tertanya siapakah… atau apakah yang disebalik pembunuhannya.

    MARILAH MENEROKAI MISTERI DI KAMPUNG SG. GELIK KIRI

    Mystic Village adalah rancangan hibrid, setiap episod ada kes tersendiri tetapi ada misteri yang lebih besar secara serial yang akan terbongkar apabila siasatan Yunus semakin dekat dengan adegan-adegan pelik di Sungai Gelik.

     

    Episode 1

     

    ANAK TERUNA BALIK KAMPUNG

    Yunus pulang ke kampung halamannya untuk mencari ketenangan selepas tweetnya dikecam, di media sosial. Apabila Penghulu kampung, Pak Saad dijumpai mati dalam keadaan yang mencurigakan, Yunus terjebak dalam siasatan untuk mencari kebenaran kerana ayahnya, Ismail (orang terakhir nampak Pak Saad hidup) mungkin menjadi suspek utama.

     

    Episode 2

    RUMAH HANTU BERTIANG DUSTA

    Penghulu terjun, Solehah mencari pendapatan ekstra untuk Gelik Kiri dengan mengiklankan rumah wakaf kampung sebagai homestay berhantu. Apabila tanda-tanda yang rumah tersebut benar-benar ada penunggu, AJK kampung dengan panik minta Yunus buat upacara rukiah. Ini menyebabkan dia bersemuka dengan Abang Long yang ingin menjaja servis halau hantunya.

     

    Episode 3

    CARA-CARA MENANGKAP TOYOL

    Gelik Kiri dikatakan ada toyol apabila barang-barang berwarna merah mula hilang termasuk 100 ringgit dari gerai Z. Yunus yang masih tak tenteram dengan masalah media sosialnya dan tak senang duduk serumah dengan ayahnya, mencari alasan untuk keluar rumah, termasuklah memburu toyol.

     

    Episode 4

    MISTERI HISTERIA

    Yunus dengan hashtag ImamPI sudah viral dan dia dirayu untuk menolong seorang peniaga bernama Anas menyelesaikan kes tunangnya kena rasuk jin. Zakaria pula tak habis-habis bermimpi ngeri tentang ayahnya. Adakah ini saka mengacau ataupun sesuatu yang lebih Serius?

     

    Episode 5

    I-PUKAU

    Yunus dipanggil untuk menyiasat kes pukau yang puncanya seorang janda cantik yang seringkali mendapat wang dari lelaki-lelaki gatal di kampung. Dia terus menyiasat dengan bersungguh-sungguh untuk mengelak pengurusnya Fazwan yang mahukan dia kembali ke dunia influencer. Zakaria mengalami kesusahan membeli tanah-tanah di kampung dan berkomplot dengan Abang Long.

     

    Episod 6

    TYGER TYGER

    Misi untuk menangkap pencuri ayam, menghasilkan video yang membuat orang kampung kecoh yang ada harimau jadian berleluasa di Sungai Gelik. Dengan kejadian ghaib yang semakin menjadi-jadi, Yunus syak yang mungkin ada dajal disebalik insiden-insiden tersebut yang mengambil kesempatan kepercayaan kalut orang kampung. Persoalannya: siapakah disebalik semua ini dan kenapa?

     

    Episode 7

    PONTIANAK JALAN CHANTIK

    Bila TikToker kampung, Maryam, meletakkan video kelibat pontianak di jalan yang gelap di Gelik Kiri, semua orang sudah nak label Kampung Sungai Gelik Kiri sebagai ‘Kampung Paling Puaka di Kedah.’ Solehah tak puas hati dan mengheret Yunus dan Zuleikha untuk ops serang hendap Cik Pon.

     

    Episode 8

    HUSNAZON

    Bila mayat yang tak dikenali timbul di bendang berlilit dengan tangkal, semua orang terus menuduh angkara Abang Long melakukan sihir. Dengan keadaan terdesak Abang Long minta tolong Yunus untuk membongkar kes ini dan selamatkan reputasinya. Zakaria akhirnya mengongsi dengan Mona rancangannya selama ini.

     

    Episode 9

    HANTU RAYA KEMBALI LAGI

    Spekulasi yang hantu raya Pak Saad sedang mengamuk tanpa bertuan membuat semua orang kampung risau akan keselamatan mereka. Ia semakin rancak seminggu sebelum Karnival Kampung Sungai Gelik Kiri. Yunus dengan berat hati menyiasat gejala ini dan membongkar rahsia yang amat mengejutkan.

     

    Episode 10

    EPISOD AKHIR

    Setelah Yunus membongkar siapa yang disebalik pembunuhan dan insiden-insiden ghaib, rumahnya dibakar sebagai amaran. Yunus berasa bersalah yang penyiasatannya telah membahayakan hidup abahnya dan berkonfrontasi dengan pembunuh tersebut lalu mengejarnya ke dalam hutan. Di situ mereka berdua bertembung dengan benda ‘ketiga’ yang tidak disangka.

     

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *