Debaran tayangan Ejen Ali The Movie 2 yang bakal menemui peminat pada 22 Mei 2025 semakin memuncak. Sementara para ejen bersiap siaga untuk misi seterusnya, inilah masanya untuk kita menoleh ke belakang dan mengimbas kembali babak-babak paling ikonik dari filem pertama yang mencetuskan fenomena luar biasa dalam dunia animasi tempatan.
Babak di restoran Mamak Maju bukan sahaja mencuit hati, malah telah menjadi antara adegan paling diingati oleh penonton. Dengan iringan lagu rancak dan tarian gaya Bollywood, aksi Ali, Alicia dan Bakar menyelinap masuk ke pangkalan rahsia MATA melalui restoran mamak mendapat perhatian ramai. Ejen Rahul, Rajesh dan Razman — bekas perisik MATA — mencuri tumpuan dengan persembahan menghiburkan yang menggabungkan komedi, budaya mamak Malaysia, dan dunia perisikan. Tidak hairanlah babak ini pernah menjadi trending No.1 di YouTube dan tular di Twitter dengan lebih 20 juta tontonan!
Pertempuran hebat antara Niki dan ejen-ejen MATA mencetuskan antara adegan paling mendebarkan dalam filem. Niki, yang menyimpan dendam terhadap tokoh berpengaruh Cyberaya, muncul sebagai antagonis kompleks dengan latar belakang menyayat hati. Suntingan visual yang dinamik serta pergerakan aksi yang pantas dan penuh gaya menjadikan babak ini setaraf filem aksi antarabangsa, sekaligus mengangkat kualiti animasi tempatan ke tahap baharu.
Antara pendedahan paling emosional dalam Ejen Ali The Movie ialah identiti sebenar ibu Ali, iaitu Aliya — seorang ejen elit MATA yang terkorban dalam misi penting. Babak pertemuan Ali dan ibunya dalam dimensi IRIS benar-benar menyentuh hati, di mana Ali terpaksa membuat pilihan berat untuk memadam data ibunya demi menguasai Override Mode dan menumpaskan Niki. Tema pengorbanan, kasih sayang ibu dan kehilangan menjadikan filem ini lebih dari sekadar hiburan — ia menyentuh jiwa.

Di klimaks filem, Ali akhirnya berjaya menguasai Override Mode — kebolehan istimewa yang sebelum ini tidak mampu dikendalikannya. Lagu “Mama di Hatimu” nyanyian Ida Rahayu Yusoff yang mengiringi perpisahan terakhir antara Ali dan ibunya menambahkan kedalaman emosi dalam babak tersebut. Detik ini menjadi lambang kematangan Ali, keyakinannya sebagai ejen muda, serta kekuatan yang diwarisi daripada legasi ibunya.
Dengan segala momen hebat dari filem pertama masih segar dalam ingatan, kini tiba masanya untuk para ejen kembali ke pawagam dan menyertai misi terbaru dalam Ejen Ali The Movie 2. Animasi yang lebih mengagumkan, kisah yang lebih mendalam dan aksi yang lebih luar biasa menanti untuk meneruskan kejayaan legasi Ejen Ali.
Saksikan treler rasmi di sini:
https://youtu.be/5nD1LWmAeKc?si=xPVusg_hDpqzHoTQ