Fri. May 23rd, 2025

Bersiap sedia untuk menyaksikan kelahiran era baharu adiwira tempatan apabila filem aksi paling dinantikan tahun ini, Keluang Man, mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei 2025! Diterbitkan oleh Astro Shaw, filem ini bukan sekadar sebuah karya sinematik, malah merupakan detik penting kelahiran Astro Shaw Cinematic Universe – semesta adiwira pertama dari Malaysia. Pelancaran treler dan poster rasmi hari ini menandakan permulaan kepada inisiatif strategik berskala besar, melibatkan pelbagai kolaborasi kreatif yang menggabungkan hiburan dan gaya hidup secara imersif.

Treler rasmi memperlihatkan sisi moden Keluang Man dengan sentuhan visual bertaraf antarabangsa, sarat dengan aksi dan sinematografi memukau. Dunia Keluang Man dibawakan dalam bentuk ‘live-action’ yang memikat bukan sahaja peminat lama, tetapi juga generasi baharu yang kini menyaksikan kebangkitan semula adiwira tempatan. Malaysia kini membuktikan bahawa kita juga mampu melahirkan filem superhero berkualiti tinggi, yang bersaing setanding dengan produksi luar negara.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif Keluang Man, “Kami telah mengumumkan penghasilan filem ini sejak tiga tahun lalu, dan kini segala usaha dan impian kami menjadi kenyataan. Dengan kolaborasi hebat bersama jenama seperti Kopi Wonda, kemunculan sulung Keluang Man sempena Hari Kemerdekaan ke-67, serta mural ikonik di Kluang, kami bukan sahaja membina jenama, tetapi legasi. Ini lebih daripada sekadar filem – ini adalah gerakan budaya.”

Antara keunikan filem ini adalah sokongan daripada pelbagai jenama tempatan yang menyertai kempen pemasaran menyeluruh – memperkukuh ekosistem industri kreatif dan komersial. “Kami amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan daripada semua rakan kolaborasi. Gabungan kreativiti dan semangat patriotik ini membuktikan bahawa kandungan tempatan mempunyai potensi besar untuk mencipta impak berskala nasional,” tambah Raja Jastina.

Antara inisiatif menarik termasuk pelancaran Wonda Kopi Kluang edisi terhad dengan lima rekaan bertemakan karakter utama seperti Keluang Man, Ahmad, dan Dr. Malini. Pembelian turut disertai peluang memenangi barangan eksklusif seperti figura aksi, payung khas dan komik terhad – tersedia di rangkaian runcit terpilih seluruh negara. Selain itu, burger eksklusif Wonda-ful Keluang Man hasil kerjasama myBurgerLab turut memeriahkan kempen dengan roti maroon unik dan sos istimewa berasaskan Kopi Wonda.

Meraikan keterujaan peminat, Keluang Man WONDA Fun Run akan berlangsung pada 18 Mei 2025 di Menara DBKL dengan suasana penuh warna-warni dan gaya cosplay. Pendaftaran dibuka hingga 2 Mei dan peserta awal akan menerima jersi eksklusif Keluang Man. Kempen turut diperluas dengan pelancaran koleksi premium oleh Royal Selangor termasuk figurin edisi terhad dan pin lapel khas bersalut emas 24K, menambah sentuhan prestij kepada dunia adiwira ini.

Jenama tempatan turut serta memeriahkan alam sinematik ini, termasuk Fung Keong dengan koleksi kasut ‘FK Sneakers’ dan Abstrax dengan rekaan jersi premium Keluang Man. Setiap kerjasama ini dirancang dengan cermat untuk memperluaskan pengalaman filem ke dunia nyata – menjadikan Keluang Man bukan hanya tontonan, tetapi satu gaya hidup yang membanggakan rakyat Malaysia.

Filem Keluang Man merupakan hasil kerjasama antara Astro Shaw, GSC, Idea River Run, Wonda Kopi dan Pasal Productions. Diarahkan oleh Anwari Ashraf, filem ini dibintangi barisan pelakon mantap termasuk Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson dan ramai lagi.

Sementara menantikan tayangan rasmi, peminat boleh mengimbau semula siri animasi asal di laman rasmi www.keluangman.com dari musim pertama hingga ketiga. Ikuti perkembangan dan pelancaran eksklusif di TikTok, Instagram, X, dan Facebook rasmi Astro Shaw serta Astro Gempak. Gunakan tanda pagar #KeluangMan dan #KeluangManMovie untuk berkongsi keterujaan anda.

Legenda tempatan kini kembali, lebih hebat dan bersedia menawan layar perak – inilah detik permulaan kepada Astro Shaw Cinematic Universe!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *