Thu. Feb 22nd, 2024

    Khairuddin Othman, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, telah menjadikan kebajikan tenaga pengajar sekolah agama sebagai keutamaan dengan menubuhkan koperasi untuk golongan itu.

    Beliau berkata, kebajikan guru sekolah agama jarang dibangkitkan berbanding infrastruktur sekolah yang biasanya terdapat dana disalurkan bagi tujuan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

    “Bagi saya paling penting untuk kita perjuangkan akan datang adalah kebajikan guru sekolah agama yang harus diperhalusi dan ditambah baik.

    “Sebab itu saya telah beberapa kali mencadangkan agar satu koperasi guru sekolah agama diwujudkan bagi menjana pendapatan dan demi kebajikan guru sekolah tersebut,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Medik di Paya Jaras, baru-baru ini.

    Susulan itu katanya beliau akan memohon kepada Institut Kemajuan Desa (INFRA) sebidang tanah untuk diusahakan dengan tanaman seperti cili dan sebagainya dengan hasil pendapatan tersebut dibawa semula kepada koperasi.

    Katanya, usaha itu tidak akan terhenti di situ dan berikrar sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk menjadi wakil rakyat DUN Paya Jaras beliau akan terus memperjuangkan isu tersebut.

    “Penambahbaikan infrastruktur sekolah akan sentiasa diteruskan menerusi dana kerajaan namun kebajikan sekolah agama akan diberi fokus lebih,” katanya.

    Ditanya mengenai isu banjir dan perparitan di kampung tradisi di Paya Jaras, Mohd Khairuddin menjelaskan pihaknya berdepan beberapa isu antaranya masih ada kampung yang berbentuk ‘parit Jepun’ yang mana ia tidak tercantum dengan sungai.

    “Isu ini agak mencabar kerana saliran yang mahu ditarik ke sungai perlu melalui tanah milik orang dan sekiranya pemilik tanah tidak beri kebenaran, ia menyukarkan proses (penambahbaikan),” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *