Sat. Feb 24th, 2024

    Seorang guru matematik di sekolah luar bandar di SK Lemoi bermotivasi untuk mendapatkan semula penguasaan bola sepak sekolahnya dan menemui bakat segar dalam kalangan pelajarnya. Jarak dari bandar dan kekurangan peralatan tidak mematahkan kesungguhan Cikgu Zulzaidi untuk membantu anak muridnya mencapai matlamat mereka.

    Kicking Off The Lemoi’s Dream, sebuah program dokumentari berbahasa Inggeris bakal disiarkan secara eksklusif di TV3 pada 17 Jun 2023, Sabtu pada pukul 6.00 petang atau strim langsung secara HD di www.tonton.com.my. Istimewa sempena ulang tahun TV3 yang ke-39, dokumentari berdurasi satu jam ini bakal memberi motivasi kepada penonton melalui keikhlasan seorang guru dan kesungguhan murid-muridnya dalam mencapai sebuah cita-cita.

    Cikgu Zulzaidi, seorang guru matematik dan rakan-rakan sejawatnya menemui jalan buntu dalam memastikan pelajar SK Lemoi, sebuah sekolah yang terletak di kawasan pedalaman Cameron Highlands untuk hadir ke sekolah. Mengetahui kaedah untuk mendidik murid di kawasan bandar dan pedalaman adalah berbeza, guru-guru di sekolah ini kemudian menemui sinar untuk menyemai semangat cinta terhadap sekolah melalui sukan bola sepak.

    Lebih membanggakan, pada tahun 2018 dan 2019, jurulatih pasukan pada masa itu telah berjaya membawa pasukan bola sepak SK Lemoi yang juga digelar sebagai ‘The Botaks’ menjuarai Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun MSSD Cameron Highlands. Namun, pandemik virus Covid 19 telah memaksa semua aktiviti sukan di peringkat sekolah dihentikan dan telah menjatuhkan momentum ‘The Botaks’ selaku juara bertahan. Kini, Cikgu Zulzaidi, selaku jurulatih baharu menghadapi cabaran untuk mengembalikan rentak cemerlang dalam kejohanan dengan ahli pasukan yang baharu.

    Salah seorang tonggak pasukan, Daniel, murid tahun 6 SK Lemoi merupakan seorang berketurunan Semai dan memiliki nilai yang diwarisi daripada kumpulan etnik itu. Berperwatakan kuat dan lasak, Daniel ingin menggalas tanggungjawab sebagai penyerang pasukan. Walau bagaimanapun, Cikgu Zulzaidi mempunyai perancangan yang lebih baik dalam memanfaatkan kelebihan Daniel namun kurang dipersetujui oleh Daniel sendiri.

    Berjayakah Cikgu Zulzaidi membentuk karakter pelajar-pelajar SK Lemoi  melalui sukan bola sepak? Mampukah Daniel dan kawan-kawannya mengulangi pencapaian cemerlang pasukan bola sepak SK Lemoi? Jangan ketinggalan untuk menyaksikan program dokumentari Kicking Off The Lemoi’s Dream menerusi TV3 yang bakal bersiaran pada 17 Jun 2023, Sabtu, pukul 6.00 petang atau strim langsung secara HD di www.tonton.com.my.

    Kicking Off The Lemoi’s Dream adalah usahasama produksi Rangkaian Televisyen Media Prima dan Thai Public Broadcasting Service. Di bawah payung Asian Broadcasting Union (ABU), usahasama ini dijalinkan menerusi Thai PBS ASEAN Documentary Co-Production Initiative yang menyaksikan penyertaan beberapa stesen TV dan syarikat produksi serata Asia Tenggara antaranya Media Prima Berhad (Malaysia), Thai PBS (Thailand), Rekam Indonesia (Indonesia), Lao National Television (Laos), VTV7 (Vietnam) dan TVK (Kemboja).

    Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *