Tue. Nov 19th, 2024

    Penyanyi Playback Popular India Raikan Peminat Di Malaysia Dalam Konsert ‘Jubin Nautiyal: Live In Malaysia’

    KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2022 – Demam Bollywood di Malaysia akhirnya berakhir malam tadi apabila penyanyi latar (playback) nombor satu India, Jubin Nautiyal tampil menghiburkan hampir 3,000 peminat di Malaysia ketika konsert perdananya ‘Jubin Nautiyal: Live In Malaysia’ bertempat di dewan Plenary Hall, KLCC yang dianjurkan oleh syarikat penganjur acara popular, Hitman Solutions.

    “Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di Malaysia dan sambutan yang saya terima cukup mesra. Meskipun singkat, saya berpeluang melihat tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur dan merasai makanan Malaysia, dan tujuan utama saya ke sini adalah bermain muzik bagi menghiburkan peminat saya di Malaysia,” jelas jejaka kacak berusia 33 tahun ini.

    Konsert pada malam itu menampilkan sekitar 30 lagu oleh Jubin, termasuk Zindagi daripada filem ‘box-office’ Bajrangi Bhaijaan, Lut Gaye, yang mempunyai 1.2 bilion tontonan di YouTube, Humnava Mere, Tum Hi Aana, Raataan Lambiyan, dan banyak lagi, diiringi oleh 15 pemuzik cemerlang yang direkrut khas dari India.

    “Rencananya, saya akan menyanyikan dalam 20 buah lagu sahaja tetapi kebanyakan peminat berasa hampa dan mahukan lebih, jadi saya hadiahkan 30 buah lagu kesemuanya yang saya nyanyikan secara medley demi tidak menghampakan perasaan mereka semua,” tambah Jubin.

    Kerjaya muzik beliau bermula pada 2011 apabila beliau bertanding dalam rancangan realiti X Factor India. Namun, beliau tidak berjaya ke peringkat akhir, dan itu bukanlah menjadi faktor yang melemahkan atau mematahkan semangatnya. Katanya, “Kekuatan saya selama ini adalah muzik itu sendiri, saya tidak pernah menganggapnya sebagai hobi atau sekadar minat, lebih kepada sebuah cara hidup (way of life), sama seperti makanan, seperti bernafas, begitulah pentingnya muzik dalam kehidupan saya.

    “Saya rasa sangat bertuah kerana dapat menghibur dan menggembirakan peminat-peminat saya pada malam ini melalui muzik yang saya bawakan, saya hanya mengharapkan kasih sayang, senyuman yang terukir dan mungkin juga tangisan di wajah mereka (peminat), serta pulang dengan kenangan yang indah. Semoga kita berjumpa lagi di lain masa, terima kasih Malaysia.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Encik Rohit Rampal, “Terima kasih kepada pembeli tiket dan kesemua yang hadir pada malam ini kerana sambutan yang diterima sangat memberangsangkan serta luar jangkaan. Serta terima kasih juga kepada Tourism Malaysia, Malaysia Truly Asia, Milestone Entertainment, Kuna KL, Clifftop Group Asia, Malik Streams, Astro Ulagam, Astro Box Office Bollyone HD, Bollylah, Raaga.my, D’Mart Travel & Tours Sdn Bhd. dan Varnam MY. Jangan lupa nantikan konsert seterusnya dari Hitman Soutions.

    Kami berasa sangat terpesona dengan persembahan Jubin Nautiyal yang menyentuh hati kami pada konsert pertamanya di Malaysia. Akhir sekali, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang telah membantu menjayakan konsert ini.”

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *