Sat. Jul 27th, 2024

    Gelombang demam rock yang melanda negara baru-baru ini masih belum reda, dan kini, mereka akan mempersembahkan satu persembahan terhebat dalam sejarah, di mana band rock legendaris Indonesia, Radja, dengan vokalis yang dianggotai Ian Kasela, gitaris hebat Moldy Kusnadi, dan drummer berbakat Seno Aji, akan bersatu dengan Ratu Rock Negara, Ella. Mereka akan menggegarkan ibu kota dalam konsert fenomenal yang bertajuk ‘LIVE IN CONCERT: RADJA & PENAMPILAN ISTIMEWA ELLA (JUJUR TAKKAN MELUPAKANMU)’ pada 12 November 2023, mulai pukul 7:00 malam, di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Acara ini dipersembahkan oleh penganjur konsert Malaysia yang sudah terkenal, Orange International Entertainment. Jangan lepaskan peluang ini untuk menyaksikan persembahan menarik dari Radja.

    “Rindu rasanya untuk bertemu kembali dengan peminat-peminat di Malaysia setelah sekian lamanya, dan ini bukan kali pertama Radja datang ke Malaysia kerana sudah pun tiba seawal tahun 2004 dan 2005 lagi, dan setiap kali mengadakan persembahan selalunya berjaya,” kongsi Ian.

    Ibarat membuka lembaran baharu, kedatangan Radja pada kali ini lebih istimewa kerana konsert yang bakal diadakan lebih kepada keakraban di antara band dengan juga peminat. “Kami mahukan sebuah konsert yang ‘intimate’ agar peminat berasa lebih dekat, kami juga mahukan sebuah pertunjukan yang ‘sing-along’ dengan kejutan yang sungguh istimewa,” jelas Moldy.

    Bukan sahaja Radja, malah Ratu Rock Negara kita juga bakal beraksi di pentas yang sama. “Ini merupakan idea yang sudah lama diutarakan bahawa kami ingin berkolaborasi dengan Ratu Rock Malaysia iaitu Ella dalam sebuah pentas, dan pihak penganjur konsert iaitu Orange Entertainment International berjaya merealisasikannya.

    “Dua lagu hits Radja ‘Jujur’ dan ‘Takkan Melupakanmu’ nyanyian Ella sangat indah didengar, maka kami gabungkannya lalu menjadi tema buat konsert kali ini disamping menjalin perpaduan muzik di antara Indonesia-Malaysia yang sememangnya akrab sejak dahulu lagi,” kata Seno.

    Sebelum ini, pihak penganjur telah pun mengadakan konsert oleh kumpulan Ungu pada penghujung tahun lepas dengan jayanya dan menerima sambutan yang memberangsangkan, menurut Dato’ Fazli, CEO & Pengasas Orange Entertainment International, “Kami bawakan anda band rock Indonesia termasyhur, Radja dalam sebuah konsert gilang-gemilang bersama Ratu Rock Ella buat tatapan peminat-peminat rock di Malaysia, kami menyahut baik permintaan Radja yang mahukan Ella untuk turut serta bersama-sama mereka di pentas yang sama.

    “Saya berharap peminat rock Indonesia dan Malaysia akan terhibur dan jangan lupa membeli tiket konsert sebelum terlambat.

    Akhiri Ian: “Radja hanya mahu melepaskan rindu bersama peminat-peminat di Malaysia dan mari kita sama-sama ‘enjoy’ pada malam konsert nanti, jumpa anda di Kuala Lumpur!

    Tiket-tiket yang dijual berharga RM168 (Rockzone 1-Jujur), RM148 (Rockzone 2-Tulus), RM528 (VVIP-Cinderella), RM238 (Platinum-Yakin) dan RM198 (Gold-Benci Bilang Cinta) boleh didapati di ticket2u.com.my.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *