Wed. Feb 28th, 2024

    Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir berkata, “PJ Love U” akan menjadi tumpuan 21 program yang dilaksanakan sepanjang Jun bagi memperingati ulang tahun ke-17 bandar raya itu.

    Beliau berkata, keraian itu akan disempurnakan dengan acara kemuncak Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-17 yang dijadual berlangsung di Laman MBPJ di hadapan Ibu Pejabat MBPJ di Jalan Yong Shook Lin, di sini, pada 24 Jun ini, bermula jam 8 malam. Pengisytiharaan rasmi Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya dibuat pada 20 Jun 2006.

    Jelasnya, sambutan tahun ini meliputi pelbagai program berbentuk jualan dan pameran, pertandingan dan kejohanan, sumbangan, dan perkhidmatan percuma yang dirangka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi mendekatkan diri dengan komuniti setempat.

    “Tahun 2023 ini merupakan tahun yang ke-17 Petaling Jaya menjadi sebuah bandar raya. ‘PJ Love U’ diangkat sebagai tema, kali ini dengan mengambil kira Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya yang inklusif, manakala program dan aktiviti yang diatur juga melibatkan penyertaan dan memberi manfaat kepada semua peringkat komuniti.

    “Kemuncak sambutannya ialah pada 24 Jun ini, iaitu acara perasmian yang akan diserikan dengan persembahan istimewa oleh Firman dan Nabila Maharani dari Indonesia, di samping Neeta Manis, Mr 5k dan Aliff Aziz,” katanya mengenai keraian tahun ini yang turut menyaksikan Laman MBPJ, di Lorong Tengah dan sekeliling Menara MBPJ, Dataran Boulevard dan sebahagian Jalan Yong Shook Lin, Jalan Selangor dan Jalan Sultan bermandi cahaya oleh lampu hiasan pada malam.

    Mohamad Azhan berkata, buat julung kalinya juga pada malam perasmian nanti akan diadakan pertandingan bagi acara perarakan, membabitkan kategori Agensi/ Badan Kerajaan, Badan Korporat, Majlis Perwakilan Penduduk/ Persatuan dan Pusat Pengajian Tinggi (Universiti/ Kolej) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,500, selain sijil dan hadiah iringan.

    “Majlis awalnya mensasarkan sebanyak 16 pasukan bakal menyertai pertandingan ini dan tidak menduga ia telah menarik penyertaan 18 pasukan, setakat ini. Suka saya memaklumkan, perarakan tahun ini juga akan turut disertai Sahabat Radio Suria FM dan Sahabat Motorsikal MBPJ,” katanya. Pemenang Keseluruhan Terbaik bakal menerima hadiah wang tunai RM3,000, manakala pemenang tempat pertama diperuntukkan RM1,500, diikuti kedua dengan RM1,000 dan ketiga, RM500. Sebanyak RM500 juga menanti Pemenang Kostum Terbaik.

    Pelaksanaan program juga, menurutnya bertumpu di Taman Bandaran Kelana Jaya, The Spine, Dewan D’Kelana, selain lokasi utama di Laman MBPJ, Dataran Boulevard dan Pusat Bandar Seksyen 52. “Pemilihan lokasi ini selaras dengan hasrat Majlis menghidupkan persekitaran Pusat Bandar Seksyen 52 dan seterusnya mempergiatkan usaha mempromosi Bandar Raya Petaling Jaya sebagai Kota Seni,” jelasnya.

    Ini disusuli acara PJ Smart Ride pada esoknya, 25 Jun, yang menyaksikan selebriti popular, Baggio Damasutra bakal memberi cabaran dalam pertandingan kayuhan berbasikal sejauh 45km itu yang menawarkan pendaftaran percuma. Manakala pada malamnya, MBPJ menjemput umat Islam, khususnya warga Petaling Jaya menghadiri majlis PJ Berselawat di Laman MBPJ yang akan turut dihadiri agamawan seperti Habib Nael Ben Taher, Ustaz Basyir Azhari, Ustaz Fitri Abdullah dan Ustaz Adlu Kan Yong Sheng.

    Menjelang minggu perasmian, beberapa program seperti Larian Bandaraya PJ (10KM) dan Pertandingan Push Bike juga dijangka menarik perhatian orang ramai, selain program amal seperti Sumbangan PJ Prihatin kepada golongan miskin tegar, iaitu Program Pembasmian Kemiskinan Bandar & PJ City Food Bank.

    Sebagai simbolik hari pengisytiharaan rasmi Petaling Jaya sebagai bandar raya, pada 20 Jun ini, MBPJ memberi penawaran percuma bagi penggunaan tempat letak kereta, kolam renang, gelanggang badminton dan tenis, selain 300 pendaftaran perpustakaan dan pemberian 1,000 anak pokok. Mohamad Azhan yang menyambut ulang tahun Petaling Jaya buat kali kedua, mengimpikan bandar raya terkemuka Selangor ini akan dikenali bukan saja di Malaysia, malah luar negara.

    “Selain mengimpikan Petaling Jaya dikenali sebagai Kota Seni yang penuh dengan aktiviti kebudayaan dan pelancongan, saya berharap MBPJ menjadi Pihak Berkuasa Tempatan yang memberi perkhidmatan terbaik kepadapenduduk Petaling Jaya dan menjadi contoh atau model kepada agensi kerajaan, mahu pun swasta.

    “Kenalilah Petaling Jaya ini sebagai satu bandar raya yang maju dan sejahtera, selaras pelan strategik PJSSR 2023, ‘PJ Smart, Sustainable and Resilience 2030,” katanya, seraya mengalu-alukan kehadiran pengunjung dalam dan luar negara, selain penduduk dan komuniti Petaling Jaya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *