Fri. May 23rd, 2025

Penyanyi dan juara AJL ke-39, Marsha Milan, terus mencatatkan kejayaan gemilang di persada antarabangsa. Terbaharu, beliau telah dilantik sebagai Duta Spotify EQUAL Asia bagi bulan April 2025, sekali gus meletakkan nama Marsha di pentas dunia. Dalam satu perkembangan yang luar biasa, wajahnya turut menghiasi papan ikonik di Times Square, New York, pada 18 April 2025, sebagai simbol pengiktirafan terhadap bakat dan pencapaian beliau.

Marsha kini menjadi wajah utama bagi playlist EQUAL Singapore & Malaysia, yang turut memaparkan dua lagu popular beliau iaitu Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa. Langkah ini menjadikan Marsha sebagai salah seorang daripada sekian banyak wanita yang diangkat dalam inisiatif global Spotify untuk menggalakkan kesamarataan jantina dalam industri muzik, EQUAL. Spotify EQUAL bertujuan untuk memberi tumpuan kepada pencapaian luar biasa wanita dan memberi mereka platform untuk diketengahkan di mata dunia.

Menyatakan keterujaan beliau, Marsha berkata, “Saya masih rasa seperti bermimpi! Dapat melihat wajah saya di papan ikonik Times Square adalah satu pencapaian yang sangat besar bagi saya. Sebagai gadis dari Sabah, saya tidak pernah terbayang peluang seperti ini akan datang. Saya sangat bersyukur atas sokongan yang diterima.”

Lebih menarik, Marsha berharap pencapaian ini bukan hanya untuk dirinya, tetapi sebagai inspirasi kepada lebih ramai wanita dan komposer berbakat di luar sana untuk terus berjuang dan berkarya. “Saya percaya jika kita memberi fokus kepada menghasilkan karya yang baik, penghargaan pasti akan datang. Semoga pencapaian ini mendorong lebih ramai wanita untuk melangkah maju dalam industri muzik,” ujar Marsha penuh semangat.

Berada hampir dua dekad dalam industri muzik, Marsha berkongsi pengalamannya tentang apa yang diperlukan untuk terus bertahan dan berkembang. “Perkara utama yang saya pegang ialah keikhlasan dan disiplin. Perubahan dalam industri ini memang sentiasa berlaku, tetapi saya percaya jika kita sentiasa menjaga identiti dan berhubung baik dengan pasukan serta peminat, peluang itu akan datang,” katanya lagi.

Tidak cukup dengan kejayaan tersebut, Marsha juga telah diumumkan sebagai salah seorang artis yang akan membuat persembahan di Festival ROUND (ASEAN-Korea Music Festival) yang bakal berlangsung di Zepp KL pada 21 dan 22 Jun 2025. Festival ini, yang dibawakan oleh ASEAN-Korea Cooperation Fund, memberikan peluang kepada Marsha untuk berkongsi pentas dengan artis-artis besar serantau dalam sebuah acara yang merayakan muzik dan budaya ASEAN-Korea.

Marsha amat berbesar hati diberi peluang untuk turut serta dalam festival berprestij ini, yang pastinya memberi platform lebih besar kepada beliau untuk tampil di persada dunia. “Saya sangat teruja untuk tampil di Festival ROUND. Ini merupakan satu pencapaian yang sangat bermakna dan saya tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan rakan-rakan artis ASEAN dan Korea,” tambah Marsha.

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati vokal memikat Marsha dengan melanggan playlist EQUAL Singapore & Malaysia di Spotify. Nantikan juga kemas kini mengenai Festival ROUND untuk peluang menyaksikan persembahan Marsha secara langsung!

Untuk maklumat lanjut mengenai Alternate Records & Talents, ikuti mereka di media sosial melalui Facebook, Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *