Tue. May 20th, 2025

Gabungan lima nama besar dan baharu dari Indonesia bakal menggemparkan Axiata Arena pada 16 November 2025 menerusi penganjuran Musica Fest, sebuah konsert mega yang menyatukan pelbagai warna muzik di bawah satu bumbung. Dihasilkan menerusi kolaborasi mantap antara Shiraz Projects dan Musica, festival ini menjanjikan sebuah pengalaman muzik yang berbeza dan mengujakan buat para peminat di Malaysia.

Musica Fest tampil sebagai platform untuk menghimpunkan pelbagai genre muzik daripada artis-artis popular seperti Nidji, D’Masiv, Geisha, Shakira Jasmine dan Steven Pasaribu. Lima pemuzik dari latar muzik yang berbeza ini disatukan bagi menampilkan persembahan yang penuh variasi, dari balada menyentuh hati hinggalah ke rentak rock yang membara.

Pengasas Shiraz Projects, Shirazdeen Karim menyifatkan barisan pemuzik pilihan ini sebagai kombinasi sempurna yang bakal memenuhi selera muzik pelbagai generasi. “Musica Fest bukan sekadar konsert, tetapi satu pesta muzik berskala besar yang meraikan kepelbagaian bunyi. Kami mahu tampilkan sesuatu yang berbeza, dan saya yakin lima artis ini akan memberikan persembahan luar biasa,” katanya.

Tambah Shirazdeen, Musica Fest juga bakal menjadi pentas sulung buat dua bintang baharu – Shakira Jasmine dan Steven Pasaribu – untuk bertemu secara langsung dengan peminat mereka di Malaysia. “Kehadiran Shakira dan Steven bukan sekadar penyeri, tetapi simbol kesinambungan generasi baharu muzik Indonesia yang berbakat besar,” ujarnya.

Bagi Nidji pula, penyertaan mereka dalam Musica Fest bukan hanya sekadar persembahan biasa, tetapi satu peluang istimewa untuk berkongsi pentas semula dengan rakan-rakan lama seperti D’Masiv dan Geisha, di samping menyambut kehadiran wajah-wajah baharu industri muzik. “Musica Fest ibarat pertemuan keluarga muzik Indonesia yang diraikan dengan penuh semangat,” kata mereka.

Peminat dijangka akan menikmati seleksi lagu-lagu hit daripada setiap artis seperti “Hapus Aku” dan “Sumpah dan Cinta Matiku” oleh Nidji, “Cinta Ini Membunuhku” oleh D’Masiv, serta “Lumpuhkan Ingatanku” dari Geisha. Shakira Jasmine pula bakal mendendangkan lagu seperti “Stalking” dan “Benar Salah”, manakala Steven Pasaribu tampil dengan lagu popularnya “Belum Siap Kehilangan” dan “Haunting”.

Tiket untuk Musica Fest akan mula dijual pada 23 April 2025 jam 10 pagi, dengan beberapa kategori ditawarkan iaitu Diamond (RM398), Platinum (RM198), Gold (RM158), dan Rockzone – Free Standing (RM188). Peminat digesa mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada festival muzik paling epik tahun ini. Musica Fest 2025 menanti anda semua di Axiata Arena, Kuala Lumpur – satu malam yang pasti akan dikenang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *