Sat. Jul 27th, 2024

     

    Perkembangan media sosial kini telah memberi kesan yang besar kepada budaya dan cara hidup masyarakat kita. Kemudahan internet melangkaui penemuan maklumat; penglibatan sosial semakin tertumpu pada komunikasi maya, dan ini mempunyai kesan yang lebih luas. Oleh itu, buli siber merupakan masalah sosial yang biasa berlaku pada masa kini.

    Mengangkat isu buli siber dalam kalangan remaja dalam naskah terbaharu terbitan Zeel Production, saksikan #PemburuRahsia yang mula bersiaran menerusi slot Samarinda TV3 pada 5 September 2023, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam dan strim HD secara eksklusif di platform penstriman Tonton. 

    Drama bersiri 15 episod ini merupakan hasil karya Marr Mohamad, diarahkan oleh pengarah Feroz Kader, serta membariskan pelakon – pelakon handalan seperti Intan Najuwa, Raden Zaharatul, Muaz Zabir, Kimberly Chuah, Raff Roslee, Haliza Misbun, Adam Lee, Scha Elinnea, Fariz Isqandar dan ramai lagi. 

    Damia (Scha Elinnea), seorang pelajar dan pempengaruh popular ditemui mati dalam kawasan kampus pada malam prom kolej. Damia yang diminati ramai pengikut Insta-Space tiba-tiba rebah ketika bersiaran di Insta-Space dan perkara ini telah mengejutkan semua pihak. Ada pihak yang membuat andaian Damia bunuh diri kerana dipulau. Ikmal (Muaz Zabir), Shaqir (Raff Roslee), Bella (Raden Zaharatul) dan Eli (Kimberly Chuah) bimbang jika dikaitkan dengan kematian Damia.

     

     

    Kematian Damia tidak dapat diterima oleh ibunya, Suraya. Kakak tirinya, Aliya (Intan Najuwa) telah pulang ke Malaysia untuk mencari sebab kematian adiknya walaupun polis telah mengklasifikasikan Damia mati kerana  membunuh diri. 

    Aliya cuba mencari jawapan dengan mengikut gerak hatinya. Aliya telah membuka akaun Insta-Space kepunyaan Damia dan melihat secara terperinci. Aliya kemudiannya menerima satu panggilan misteri, dan perkara ini memaksa Aliya bertindak ke atas Ikmal dan kawan-kawannya. Aliya mengesyaki Damia membunuh diri angkara buli siber daripada rakan-rakannya.

    Keadaan menjadi semakin membingungkan apabila Shaqir, Bella dan Eli mula dihantui gangguan misteri. Ikmal diserang dan hampir dibunuh selain menerima ugutan supaya mengaku dia punca kematian Damia.  Selepas itu, bermulanya pula gerakan kempen oleh pelajar-pelajar kolej yang menuntut keadilan atas kematian Damia.

    Dengan bantuan Sir Waiz (Adam Lee), seorang kaunselor di kolej tersebut, Aliya ingin membuktikan bahawa 5 pelajar tersebut bertanggungjawab atas kematian adiknya, Damia. Namun, dalam usaha Aliya menyiasat dan mencari kebenaran, kelima-lima pelajar tersebut termasuk Aliya dan Suraya kini mula diancam oleh seorang yang misteri. Apakah kebenaran di sebalik kematian Damia? Adakah Damia mati bunuh diri atau dibunuh? Apakah sebab sebenarnya Damia menjadi mangsa buli siber? 

    Sama-sama kita merungkai plot drama #PemburuRahsia menerusi slot Samarinda bermula 5 September 2023, setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 10.00 malam atau strim dan catch-up secara eksklusif di www.tonton.com.my. Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat. 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *