Label hiburan tanah air paling berpengaruh masa kini, Rocketfuel Entertainment bersama-sama Astro sentiasa prihatin dengan perihal terkini yang sedang melanda dunia, terbaharu, lagu popular pemenang-anugerah bersifat kemanusiaan ‘ASSALAMUALAIKUM’ nyanyian dan juga ciptaan Faizal Tahir, Audi Mok, Mike Chan, Omar K dan Ezra Kong diberi nafas baharu sebagai tanda solidariti terhadap kemelut peperangan yang melanda rakyat Palestin.
Lebih istimewa, versi ‘remake’ lagu ini menampilkan pelbagai artis ternama seperti Naqiu, Tomok, Aliff Aziz, Azharina, Liza Hanim, Hady Mirza, Noryn Aziz, Jaclyn Victor, Nikki Palikat serta barisan artis Rocketfuel Entertainment sendiri iaitu Hael Husaini, Zizan Razak, Elly Mazlein, Ara Johari, Wani Kayrie, dan penampilan istimewa oleh Dato’ Hattan, Mawi dan juga Zizi Kirana.
Menurut Pn. Syakireen Othman, selaku Ketua Muzik & Kandungan Rocketfuel Entertainment, “Sebagai tanda sokongan terhadap bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di Palestin, Rocketfuel Entertainment bersama-sama selebriti dan penyanyi tempatan turut terpanggil untuk bersolidariti melalui nyanyian bersama oleh artis-artisnya yang prihatin.
“Dengan mengambil pendekatan berhibur sambil menderma, segala kutipan hasil sumbangan menerusi tontonan di YouTube dan juga penstriman lagu atas talian akan disalurkan kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah naungan Kementerian Luar Negeri,” tambah Syakireen.
Dalam nada penuh pengharapan, Ara berkongsi, “Ini bukanlah hanya hiburan semata-mata, ianya merupakan salah satu usaha kita untuk membantu saudara kita yang berada di Palestin yang sangat memerlukan bantuan dan perhatian, dan sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, jangan lupa untuk terus memperkatakan tentang konflik yang sedang berlaku di Gaza.
“Muzik adalah medium universal dan salah satu elemen penting dalam menyampaikan mesej, dan secara langsung menunjukkan tanda solidariti dan keprihatinan kita,” tambah Ara.
Selain lagu, Rocketfuel Entertainment juga turut menghasilkan sebuah video muzik (MV) eksklusif yang menampilkan artis-artis di bawah naungan label tersebut seperti Dinda Dania, Timah, Idris Brown, Syazwan Suhaimi dan Agy, serta penampilan daripada personaliti dan selebriti terkenal tempatan antaranya, Dato’ Zainal Abidin Hassan, Razman Roslan, Dr. Soo Wincci serta Safee Sali, Daniel Fong dan ramai lagi.
Untuk makluman, MV ASSALAMUALAIKUM telah mula ditayangkan secara rasminya pada tarikh 3 Disember 2023, jam 9:00 malam, eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network. Manakala pada hari berikutnya, lagu ini boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.