Sat. Jul 27th, 2024

    PUTRAJAYA, 30 Oktober 2022 – Skim Harga Maksimum Deepavali 2022 akan dilaksanakan mulai 20 Oktober hingga 26 Oktober 2022, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Penerimaan program ini adalah langkah proaktif kerajaan untuk menangani perbelanjaan sara hidup masyarakat umum, khususnya semasa perayaan Deepavali, yang akan disambut secara nasional pada 24 Oktober 2022.

    Tempoh pelaksanaannya adalah selama tujuh (7) hari dan berkuat kuasa pada empat (4) hari sebelum perayaan, satu (1) hari semasa perayaan dan dua (2) hari selepas perayaan. Sebanyak lapan (8) jenis barangan harga terkawal telah diwartakan harga maksimumnya bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022.

    Senarai barangan harga terkawal bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 adalah seperti berikut:

    i. Daging kambing biri-biri import bertulang
    ii. Tomato
    iii. Cili merah
    iv. Kelapa biji (*Harga maksimum di peringkat borong sahaja)
    v. Kelapa parut (*Harga maksimum di peringkat runcit sahaja)
    vi. Bawang merah kecil (India)
    vii. Bawang merah besar import
    viii. Kacang dal (Australia)

    Sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini, sebanyak 4,339 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh Negara manakala sebanyak 24 tindakan kes telah diambil ke atas peniaga yang ingkar. Pemeriksaan yang telah dijalankan itu melibatkan 111 pemeriksaan ke atas premis borong manakala 4,228 pemeriksaan ke atas premis runcit.

    Antara kesalahan yang dikesan adalah menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan, gagal meletakkan tanda harga dan gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu.

    Berdasarkan pemantauan yang telah dilakukan dan maklumbalas orang ramai, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 memudahkan rakyat mendapatkan bekalan dengan harga yang ditetapkan Kerajaan.

    Pengguna dinasihatkan untuk terus berhemah di dalam berbelanja dan menggunakan sepenuhnya hak-hak mereka sebagai pengguna terutamanya dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi yang berlaku ketika ini. Kuasa pengguna adalah sebagai langkah pencegahan awal yang boleh diambil oleh pengguna agar tidak mudah dimanipulasi oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi sukar ketika ini.

    Sekiranya pengguna mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP melalui saluran aduan berikut:

    i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
    ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
    iii. Call Centre 1-800-886-800
    iv. Emel [email protected]
    v. Ez ADU KPDNHEP

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *