Tiada kepuasan yang lebih besar bagi Noryn Aziz daripada memulakan tahun 2024 dengan pencapaian baharu yang menandakan satu babak baru dalam kerjayanya dalam seni.
Setelah sangat sinonim dengan genre Jazz, R&B dan Soul, Noryn membuktikan selaku penyanyi beliau mempunya kredibiliti yang besar dalam ruang lingkup nyanyiannya.
Kertas, lagu terbaharu nyanyiannya yang saat ini sedang mencuri perhatian peminat apabila menjadi runut bunyi drama bersiri Khun:sa adalah bukti nyata kemampuan seorang Noryn Aziz sebagai penyanyi wanita tanah air yang patut dibanggakan.
Karya sepenuhnya oleh komposer wanita berbakat besar, Amylea Azizan, Kertas yang dibalut dalam nuansa Pop Balada Melayu dialun dengan cukup gemersik oleh Noryn.
Ironi, Kertas adalah sebuah karya Ketuhanan yang menurut Amylea sangat sesuai dilagukan oleh Noryn.
Dan jangan terlupa, Kertas adalah karya pertama yang dialunkan Noryn dalam balutan Pop Balada Melayu.
“Kertas mencabar diri saya mencuba sesuatu yang baharu, sesuatu yang saya takuti tidak dapat dilakukan dengan baik.
“Untuk pertama kalinya saya menyanyikan lagu dari genre Pop Balada Melayu.
“Dari segi vokal, ia agak berlainan kerana kali ini saya mencabar vokal saya menyanyikan nada tinggi dengan teknik vokal yang berlainan. Jadi saya dapat terokai nyanyian di luar kotak,” kata Noryn mengenai Kertas.
Tambahnya, kekuatan Kertas juga bukan hanya bergantung kepada beliau selaku penyanyi tetapi kredit perlu diberikan kepada Amylea yang tidak pernah gagal menghasilkan sebuah karya cemerlang.
Tidak cukup dengan itu, Noryn berasa bonus berganda apabila Kertas dicipta khusus oleh Amylea untuk menjadi runut bunyi Khun:sa sentuhan magis sutradara, Shahrulezad Mohameddin atau Budak Ijat.
“Saya amat mengidamkan untuk bekerjasama dengan Amylea dan Shahrulezad. Jadi apabila tawaran dan tahu Kertas dicipta khusus untuk drama Khun:sa, saya amat berbesar hati.
“Mereka adalah tim yang banyak melahirkan karya-karya hebat dan berkualiti, lain serta tidak cliche. Dan menjadi sebahagian daripada tim ini adalah sebuah penghormatan buat saya,” katanya lagi.
Bercerita lebih lanjut, Noryn menyifatkan Kertas sebagai sebuah karya yang cukup istimewa. Ia kata Noryn lagi secara umumnya bercerita tentang jeritan batin seorang manusia yang pasrah kepada Ilahi.
“Lagu Kertas adalah lagu yang meruntun jiwa dan memiliki emosi yang agak berat mengenai kesedihan dan dugaan takdir kehidupan.
“Sejujurnya saya menangis sewaktu berbincang tentang isi lagu ini dengan Amylea kerana terkenang peristiwa-peristiwa yang pernah saya alami.
“Ia adalah lagu mengenai jeritan batin seorang hamba yang sedang mengadu kepada Tuhan. Merintih atas apa yang berlaku terhadap dirinya.
“Kadang kita sebagai manusia ada kala mempersoalkan mengapa sesuatu terjadi.
“Jeritan batin di dalam diri yang tidak mampu lagi tertanggung dengan dugaan bertalu talu terasa seperti tiada erti nya lagi kehidupan ini. Mula tercari cari jawapan… mengapa? Mengapa aku? Mengapa?
“Yakinlah!! ALLAH sentiasa mendengar dan jangan berputus asa dan bersangka buruk dengan DIA.
“Langit tak sentiasa cerah, awan tidak sentiasa mendung dan sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang sabar.
“Sebab itu saya sifatkan Kertas sangat istimewa kerana mempunyai pengertian yang cukup dalam untuk kita sebagai manusia renungkan bersama,” ujar Noryn.
Dengan keindahan yang telah diciptakan terhadap lagu kertas dan drama bersiri Khun:sa, Noryn berbesar hati agar kedua-dua karya ini mendapat sambutan positif dan menerima apresiasi dalam kalangan pendengar serta penonton.
“Saya percaya sebagai pendengar dan penonton, kita boleh ‘masuk’ ke dalam situasi Kertas kerana setiap manusia ada laluan hidup dan dugaan serta takdir masing-masing.
“Dengarkanlah lagunya dan selami lirik Kertas dengan cermat,” harap Noryn.
Sementara bagi arkitek lagu ini, Amylea, Kertas juga diangkat sebagai sebuah karya miliknya yang sangat peribadi dan menjadi lagu Ketuhanan miliknya yang dipercayai ‘dekat’ dengan semua pendengar.
“Saya menggarap Kertas mengikut kepada jalan cerita drama Khun:sa yang tidak silap sudah mula dibincangkan Shahrulezad sejak 2020 namun kerana pandemik Covid 19, projek ini tertunda.
“Kertas adalah sebuah lagu Ketuhanan dan sangat peribadi buat saya. Ia menjadi tempat manusia mengadu domba kepada Allah tentang banyak dugaan yang silih berganti sehingga berasa tiada kelapangan yang Dia beri kepada kita sehingga kita berasa letih dan berhenti berharap serta berdoa.
“Perkataan atau lirik-liriknya juga ada berbunyi semangat dan ‘seram’. Seram tentang bagaimana kita seharusnya beringat dan boleh dikatakan juga Kertas sebagai lagu memujuk diri untuk faham diri kita di mana dan apa yang Allah berikan kepada kita sebagai hamba-Nya.
“Padahal kita sendiri berasa hina kerana mempersoalkan Pencipta kita tentang nasib hidup yang sebenarnya kita sedar Allah akan menaikkan darjat kita dalam setiap kepayahan yang telah dilalui,” ujar Amylea.
Menurut Amylea lagi dia menggalas tanggungjawab besar menghasilkan kertas dalam balutan genre yang tidak pernah dinyanyikan Noryn menerusi lagu miliknya.
“Tanggungjawab saya berat sebenarnya kerana Noryn belum pernah memiliki lagu sendiri dengan genre Pop Melayu seperti ini.
“Jadi saya sengaja cabar vokal beliau pada beberapa bahagian lagu dan sejujurnya bekerja dengan Noryn adalah sebuah penghormatan buat saya kerana dedikasi dan sikap rendah dirinya sepanjang kami bekerjasama,” katanya.
Bertindak sebagai Pengarah Muzik Khun:sa, Amylea juga mahu Kertas berdiri sendiri selepas drama tersebut habis ditayangkan atau menjadi sebuah lagu yang digemari tanpa seseorang pernah menonton naskhah tersebut di kaca televisyen.
“Kertas adalah sebuah lagu yang ‘dalam’ dan ‘berat’ dan ia dinyanyikan seperti mendodoi. Ia berbunyi nostalgik tetapi relevan kerana saya mahu apabila Khun:sa tamat ditayangkan atau buat sesiapa yang tidak pernah menonton drama ini, Kertas masih boleh berdiri sendiri sebagai sebuah lagu di pendengaran pendengar,” kata Amylea.
Link lirik video KERTAS: https://youtu.be/R7SwdGcF5dw?si=jOuR_KkPFBox5YgL
Digital platform: https://bfan.link/kertas-1
INFORMASI
LAGU: KERTAS
PENYANYI/ARTIS: NORYN AZIZ (@norynaziz)
KOMPOSER: AMYLEA AZIZAN (@amyleaazizan)
KOMPOSISI MUZIK: AMYLEA AZIZAN, BAJAI & SCIFISTUDIO (@bajai11 @amyleaazizan @scifistudio)
RUNUT BUNYI: DRAMA BERSIRI KHUN:SA
KARYA: SHAHRULEZAD (@budakijat @radiusone_official @astroria)