Meneroka Misteri Elektron Ultrapantas: Pemenang Hadiah Nobel Fizik 2023 Profesor Pierre Agostini Kongsi Perspektif Penyelidikan Global di Taylor’s University

Profesor Pierre Agostini bersama barisan kepimpinan akademik bergambar di hadapan skrin pentas syarahan Nobel Laureate in Physics di Taylor's Lakeside Campus

Kehadiran Tokoh Fizik Dunia Rungkai Sains Elektron Ultrapantas

SUBANG JAYA — Landskap komuniti saintifik Malaysia sekali lagi melakar satu lagi pencapaian bersejarah apabila Taylor’s University dengan kerjasama Institut Fizik Malaysia (IFM) mambawakan figura terkemuka dunia, Profesor Pierre Agostini, Pemenang Hadiah Nobel dalam Fizik 2023 merangkap Profesor Emeritus di The Ohio State University, Amerika Syarikat, untuk menyampaikan syarahan awam eksklusif di Kampus Lakeside Taylor’s. Acara berprestij ini menghimpunkan para penyelidik, ahli akademik, serta pelajar tempatan bagi mendalami sains di sebalik dinamik elektron ultrapantas dan inovasi pembangunan denyutan attosaat.

Semasa sesi syarahan bertajuk “Strong Field Photo-Electric Effect, Photons and Attosecond Pulses”, Profesor Agostini berkongsi wawasan mendalam mengenai kaedah eksperimen canggih yang digunakannya untuk mengkaji pergerakan elektron dalam skala masa yang amat singkat. Beliau menekankan bahawa penerokaan saintifik merupakan satu proses pembelajaran berterusan yang didorong oleh sifat ingin tahu serta kesediaan mencabar minda bagi merintis jalan buat generasi penyelidik masa hadapan. Turut hadir menyerikan majlis ialah Pro Naib Canselor Penyelidikan Taylor’s University, Profesor Dr Fadi Charchar, Presiden IFM Profesor Dr Tou Teck Yong, serta tokoh-tokoh akademik antarabangsa termasuk Profesor Emeritus Universite Laval, Profesor Dr See Leang Chin.

Komitmen Penyelidikan Merentas Disiplin di Taylor’s University

Inisiatif yang dianjurkan oleh Pusat Kehidupan Aktif (Centre for Active Living) ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam membudayakan kecemerlangan penyelidikan yang mampu merentasi pelbagai disiplin ilmu. Menerusi lima pusat penyelidikan utamanya yang meliputi bidang pemodenan, kesihatan, dan inovasi pintar, Taylor’s University terus aktif menjalin kolaborasi antarabangsa demi mendepani cabaran dunia sebenar. Kehadiran tokoh-tokoh pemenang anugerah global seperti Profesor Agostini membuktikan keazaman institusi ini dalam menghubungkan komuniti tempatan dengan pemikir ulung dunia, seterusnya menginspirasikan minda muda negara untuk terus berani meneroka bidang sains dan teknologi.

Foto beramai-ramai para pelajar, penyelidik, dan pensyarah di dewan kuliah bersama Profesor Pierre Agostini di Taylor's University

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *