Thu. Feb 22nd, 2024

    Wonda Coffee, peneraju jenama kopi sedia diminum (RTD) terkemuka di Malaysia, yang menghadirkan keenakan kopi seperti baru diseduh dalam tin, kini memperkenalkan semula rangkaian Wonda Extra Shot. Ini adalah hasil cipta bersama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bertujuan untuk memperkasakan penyokong dan pasukan bola sepak Harimau Malaya.

    Ciptaan bersama rangkaian Wonda Extra Shot, minuman kopi dengan kekuatan kopi berganda, akan menampilkan rupa tin unik terbaharu khas untuk Harimau Malaya. Pelancaran semula ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Wonda Coffee sebagai rakan jenama untuk meningkatkan lagi sokongan mereka terhadap pasukan bola sepak negara yang bakal bersaing di Piala Asia 2023 di Qatar.

    WONDA, jenama yang tidak asing lagi bagi peminat bola Malaysia, telah aktif mempromosikan inisiatif berfokuskan bola sepak. Pada bulan Jun lalu, Wonda mengumumkan kerjasama selama tiga tahun bersama dengan FAM bagi memartabatkan dunia bola sepak tempatan. Kerjasama bersama dengan FAM ini mencerminkan semangat dan komitmen mereka bagi menyatukan sokongan para peminat terhadap pasukan bola sepak kebangsaan, dan menyemarakkan perjalanan mereka untuk mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.

    Tin kopi baharu bagi Wonda Extra Shot telah dilancarkan semula menjelang kejohanan Pesta Bola Merdeka 2023 yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober. Pesta ini akan dimulakan dengan menyaksikan skuad bola sepak negara menentang India, satu perlawanan yang bakal mengukur keupayaan pasukan negara sebagai langkah persiapan menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar.

    Wonda Extra Shot ditawarkan dalam dua pilihan perisa – Kopi hitam dan Kopi Susu. Ia menawarkan kopi dua kali ganda lebih kuat berbanding daripada pilihan kopi tin biasa. Dengan tambahan dua kali ganda, Wonda Extra Shot akan memberikan anda lebih semangat untuk bersorak dan menunjukkan sokongan luar biasa anda terhadap pasukan bola sepak negara kita.

    Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika berkata “Kerjasama dengan FAM ini merupakan satu perjalanan baharu dalam perjalanan Wonda Coffee, di mana semangat kami untuk menyemarakkan sukan bola sepak serta dedikasi pihak FAM dapat bersatu bagi memupuk kecemerlangan skuad negara kita. Ciptaan bersama rangkaian Wonda Extra Shot bukan sahaja merupakan satu minuman yang enak dan bertenaga untuk para peminat tetapi juga merupakan tanda sokongan kami. Kami percaya tenaga, semangat, dan minat bersama yang dibawa menerusi kopi ini akan menjadi penggerak di sebalik setiap sorakan, setiap gol, dan setiap kejayaan bagi mengukuhkan lagi Impian bersama kami untuk melihat Harimau Malaya tercinta menggapai kejayaan di pentas global.”

    Amy juga berkata, “Biar apa pun cara yang dilakukan bagi menyokong pasukan bola sepak negara, kita memerlukan kekuatan yang luar biasa untuk meneruskan perjuangan, dan ini sememangnya mencerminkan intipati identiti Wonda Extra Shot yang memberikan rangsangan tambahan untuk terus maju!”

    Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Presiden FAM berkata “Kami amat berterima kasih atas sokongan Wonda Coffee dalam menyemarakkan semangat peminat bola sepak Malaysia untuk berdiri teguh di belakang pasukan kebangsaan. Pelancaran semula “Wonda Extra Shot” bukan Sahaja mencerminkan komitmen Wonda Coffee kepada dunia bola sepak Malaysia, tetapi turut menggariskan matlamat bersama kami untuk menyatukan negara melalui sukan indah ini. Bersama-sama, kami berhasrat untuk memperkasakan peminat bagi menjadi sumber tenaga Harimau Malaya dan menyumbang kepada kejayaan kami di pentas antarabangsa. Kerjasama ini adalah bukti sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat kami, dan kami menantikan masa depan yang penuh dengan kejayaan bersama-sama dengan Wonda Coffee.”

    Bagi menyokong Pesta Bola Merdeka dan perjalanan pasukan kebangsaan ke Qatar, kopi Wonda Extra Shot edisi khas boleh didapati di kebanyakan kedai runcit di seluruh negara. Dengan inisiatif ini, Wonda Coffee juga telah berikrar untuk menghantar peminat setia Harimau Malaya untuk mewakili suara rakyat Malaysia dan berada di sisi pasukan negara semasa Piala Asia 2023 di Qatar akan datang.

    Wonda dan FAM juga akan mengumumkan pelbagai aktiviti bersama bagi memperkasakan bola sepak tempatan pada masa akan datang. Ia juga akan menyaksikan pelbagai rancangan untuk melibatkan komuniti bola sepak di Malaysia dalam pelbagai inisiatif kemasyarakatan dan sukan demi kemajuan bola sepak negara.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *