Thu. Feb 22nd, 2024

    Pusingan pertama undian Top 20, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 yang dilancarkan 12 Mei hingga 11 Jun lalu, mencatat rekod baharu dalam sejarah penganjuran acara anugerah berprestij ini apabila lebih 21 juta undi diterima sepanjang tempoh 31 hari proses pemilihan dibuka.

    Secara keseluruhan, sejumlah 21,033,657 undian diterima daripada peminat membabitkan 12 kategori utama dan tujuh (7) kategori sampingan, Ekstra! yang dipertandingkan pada edisi kali ini.

    Proses pemilihan calon Top 5 bagi setiap kategori adalah berdasarkan 70 peratus daripada undian pemilihan peminat manakala 30 peratus lagi adalah penilaian juri profesional.

    Kemuncak proses itu, pastinya, gelaran Bintang Paling Popular menanti juara yang meraih undian dan markah tertinggi dalam kategori tunggal disaingi pada ABPBH 35.

    Meneruskan debaran menjelang malam kemuncak, hari ini, penganjur ABPBH 35 mengumumkan secara rasmi calon Top 5 bagi kategori utama dan Ekstra! serta melancarkan undian pusingan kedua bagi acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini.

    Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, undian lebih 21 juta yang diterima membuktikan acara anugerah ini masih relevan dan mendapat tempat di hati peminat industri hiburan tempatan.

    “Kita amat berbesar hati dan berbangga dengan jumlah undian tertinggi dikumpul pada fasa awal ABPBH 35 yang memberi petunjuk bahawa acara anugerah ini masih relevan.

    “Sokongan diberi peminat menunjukkan ABPBH masih menjadi pengukur dalam menilai populariti artis dan selebriti tempatan, apatah lagi, kali terakhir acara anugerah ini dibawa kira-kira, dua tahun lalu.

    “Biarpun ABPBH tidak dianjurkan tahun lalu, kita percaya acara anugerah ini masih meraih kepercayaan peminat dan penaja dalam merancakkan lagi pembangunan sektor kreatif tempatan serta sanjungan ramai terhadap bakat dan kreativiti anak seni,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Beliau turut menjelaskan bahawa pihak penganjur sentiasa melakukan penambahbaikan bagi mengekalkan kredibiliti ABPBH dan edisi kali ini melibatkan penilaian daripada pihak juri profesional.

    “Juri menilai berdasarkan beberapa kriteria penting. Antaranya populariti seseorang artis, impak yang dicetuskan oleh artis dan produk yang dihasilkan,” tambah beliau.

    ABPBH 35 bertemakan Ekspresi Legasi Seni dilancarkan pada majlis berkonsepkan ‘hipster’ di Stesen Keretapi Lama Kuala Lumpur di ibu negara, pada 12 Mei lalu.

    Pada majlis itu, gerabak kereta api ikonik termasuk koc mewah persis hotel lima bintang milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membawa calon awal ABPBH 35, dipandu masuk ke platform Stesen Keretapi Lama Kuala Lumpur, dengan kemuncak acara iaitu penyerahan bendera dan trofi ABPBH sebagai gimik.

    Penaja utama ABPBH 35 adalah Fellera Skin iaitu pengeluar produk kesihatan wanita terkemuka, Jeli Ajaib Bellrossa Advances.

    Shamshul Azree berkata, penganjur teruja mengumumkan senarai Top 5 yang dipilih peminat mewakili artis popular yang masing-masing memiliki kelebihan dan kekuatan tersendiri untuk dipilih sebagai finalis ABPBH 35.

    “Penganjur berpuas hati dengan pilihan dibuat peminat dan berharap pusingan kedua undian Top 5 ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk memastikan kemenangan artis pilihan.

    “Peminat ada 27 hari mulai hari ini untuk menentukan kejayaan artis dan selebriti idola masing-masing dengan melayangkan undian kepada mereka,” katanya.

    Peminat boleh mula layari www.abpbh.com.my bagi meneliti senarai Top 5 atau finalis edisi ke-35 ABPBH, mulai hari ini sehingga 15 Julai depan.

    Pada malam kemuncak ABPBH 35, sebanyak 12 kategori utama dipertandingkan iaitu BBNU Lelaki Popular, BBNU Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

    Turut dipertandingkan, Aktor Filem Popular, Aktres Filem Popular, Aktor TV Popular, Aktres TV Popular, Penyampai Radio Popular, Pengacara Televisyen (TV) Popular dan Artis Komedi Popular.

    Undian tertinggi daripada mana-mana kategori tunggal disaingi artis pada peringkat Top 5 akan menjadi penentu kepada pemenang trofi utama, iaitu Bintang Paling Popular ABPBH 35.

    Turut dipertandingkan pada ABPBH 35 adalah tujuh kategori Ekstra! iaitu Couple TV Popular, Couple Filem Popular, Drama Popular, Lagu Paling Boom Popular, Content Creator Popular, TikTokers Popular dan Lawak Viral Popular.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *