Thu. Feb 22nd, 2024

    Gandingan Search dan Barbarik yang bakal tampil dalam Konsert Double Trouble 2 ini pastinya ditunggu-tunggu peminat genre muzik rock tanah air. Apabila dua kumpulan rock terkenal bergabung atas satu pentas, hasilnya pasti hebat dan menggegarkan.

    KONSERT Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell dan Konsert Barbarik – Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu memberi impak kuat terhadap peminat muzik rock tanah air.

    Hampir semua menyifatkan ia konsert rock terbaik tanah air sepanjang tahun lalu. Malah, lebih sebulan selepas kedua-dua konsert yang berlangsung pada Jun dan Disember itu, peminat masih memperkatakannya. Ramai yang terus berkongsi pendapat serta memuat naik video konsert berkenaan di media sosial masing-masing.

    Jadi, bayangkan impaknya apabila Search dan Barbarik bergabung pula pada Konsert Double Trouble 2 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Ogos ini.

    Search yang dibarisi Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (penyanyi) dan Minn (dram) bergabung pula dengan Barbarik yang dianggotai Joe Branko (gitar), Muss (penyanyi), Ainol (dram), Rozaimie (bass) dan Adi (keyboard) pastinya amat dinantikan peminat rock.

    Konsert Double Trouble 2 dianjurkan Alpha Nation, manakala pengurusan produksi oleh Laskhar Entertainment & Playmad Sdn Bhd. Urusan promosi pula dilakukan Mewah Event Management (MEM).

    Joe berkata, walaupun berdepan cabaran, mereka berjanji akan berikan yang terbaik untuk Konsert Double Trouble 2 nanti.

    “Kedua-dua konsert Search dan Barbarik sebelum ini memang sukses. Inilah cabarannya buat kami untuk mengekalkan momentum konsert itu,” katanya.

    Menurut Joe, kedua-dua band ini banyak berbincang, bertukar-tukar idea bagi memastikan konsert ini yang terbaik.

    “Saya kerap berjumpa dan berbincang dengan Noordin dan Kid. Kami juga banyak mengadakan pertemuan dengan penganjur,” katanya.

    Joe berkata, konsep mereka kali ini tidak banyak beza dengan konsert Double Trouble yang pernah dianjurkan sebelum ini.

    Kemungkinan kedua-dua band akan menyampaikan 10 lagu dan mereka juga akan memainkan enam lagu bersama-sama.

    “Mungkin ada enam lagu di mana Search dan Barbarik akan bersama-sama di atas pentas. Tapi ini bukan masing-masing nak tunjuk ‘terror’, bukan nak ‘battle’ apa semua, tapi kami akan main sama-sama.” katanya.

    Penganjuran konsert ini berinspirasikan daripada album Double Trouble 2 yang menggabungkan Search dan Wings pada 1998.

    Search ketika itu menampilkan Amy (penyanyi), Noordin (gitar), Kid (gitar), Fauzi (bass) dan Allahyarham Yazit (dram), manakala Wings pula dibarisi Muss (penyanyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram).

    Dalam pada itu, Noordin berkata, kelebihan Konsert Double Trouble 2 ini kerana ia menampilkan pemuzik generasi selepas mereka seperti Denden dan Minn dari Search serta Ainol, Adi dan Rozaimie dari Barbarik.

    “Kali ini biar mereka pula buktikan. Saya, Kid, Yan, Joe dan Muss adalah orang lama dan semua peminat sudah tahu. Mereka pula pemuzik generasi selepas kami yang cukup berbakat,” katanya

    Noordin berkata, pastinya ada kejutan dalam konsert ini nanti dan mereka berjanji akan membuatkan peminat puas selepas menonton persembahan mereka.

    Tiket-tiket berharga RM129, RM139, RM159, RM169, RM179, RM199 dan RM359 (VIP) yang boleh dibeli di www.ilassotickets.com atau WhatsApp di talian 011-13297822.

     

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *