Sat. Jul 27th, 2024

    Stesen televisyen, TV3 hadir dengan rancangan Program Terpaling Juara yang akan membuka tirai menerusi siaran langsung dari jam 9 malam, setiap Ahad bermula 21 Ogos ini di studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.

    Terpaling Juara mempertandingkan tiga kapten berpengalaman yang terdiri daripada penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik serta pemilik trofi Juara Lagu di anugerah paling berprestij.

    Mereka merupakan Akim Ahmad (Juara Lagu 30 – Potret); Hael Husaini (Juara Lagu 32 – Jampi & Juara Lagu 33 – Haram); dan Naim Daniel (Juara Lagu 34 – Sumpah) yang akan membimbing seorang penyanyi senior dan seorang bintang baharu untuk merebut kejuaraan serta menjayakan acara mingguan yang bertemakan #playlistAJL.

    Selain itu, tiga peserta junior yang terpilih adalah Shaz (Shazreen Shaharum, 26), Aqmal (Aqmal Ramdan, 26) dan Aqeesh (Aqeesh Aleeya, 18). Mereka terpilih menerusi uji bakat yang berlangsung pada 2 dan 3 Julai lalu yang telah disertai oleh 380 orang calon.

    Lebih menarik lagi, persembahan terbaik mingguan akan diumumkan dalam segmen Terpaling Padu Minggu Ini. Pemenang ditentukan dengan 70% markah daripada juri tetap Datuk Hattan dan Fauziah Latiff serta 30% daripada undian atas talian oleh penonton di www.xtra.com.my/terpalingjuara.

    Program ini juga berhasrat untuk mengangkat kembali lagu – lagu popular AJL yang sudah tentu akan menggamit nostalgia penonton Terpaling Juara.

    Sepanjang program ini ditayangkan, Terpaling Juara akan diketuai oleh Nurhul Huda Haji Khalid, penerbit eksekutif kanan, Ikha Arnisya Mohd Anuar, penerbit eksekutif, dan Azrul Effendi Abdullah, penerbit.

    Pemenang Terpaling Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, manakala naib juara bakal memenangi RM50,000 dan pemenang ketiga pula menerima RM30,000.

    Program Terpaling Juara ditaja oleh vivo Malaysia, Nivea, Hot FM sebagai rakan penyiaran rasmi, Berita Harian dan Harian Metro sebagai rakan media utama, dan Xtra dan Oh Bulan! sebagai rakan kongsi digital.

    Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *