Terbaharu, Nova Music turut mengikut jejak langkah dan tidak mahu ketinggalan dengan mempertaruhkan sebuah lagu popular berjudul Buat Insan Tersayang nyanyian asal duet Ashira dan Eddie Hamid. Jika dilihat semula, tidak dinafikan lagu-lagu malar segar era 1990-an kembali menjadi trend dan mula diminati pendengar usia muda.
Vokal mahal serak-serak basah dengan nada yang sedikit tinggi, Ahmad Syafiq, berumur 22, ternyata mampu membuai halwa pendengar dengan garapan susunan muzik baharu yang jauh lebih segar. Paduan dan kehebatan vokal masing-masing ditambah bakat lakonan yang dipamerkan dalam video muzik (MV) arahan Azuad Abdullah begitu lancar dan langsung tidak menunjukkan sebarang kecacatan.
Mengenai trend merakamkan semula lagu lama, Wawa yang merupakan salah seorang anggota kumpulan Darul Aman Buskers menyifatkan trend tersebut sebagai satu ‘ombak’ dalam industri nyanyian.
Genre asal naskhah balada tersebut berkisarkan kesedihan dan putus cinta, namun nafas baharu yang disuntik membuatkannya sedikit kedengaran lebih rancak. MV lagu tersebut yang dirakam di Desaru, Kota Tinggi, Johor yang baru sahaja dimuat naik pada 5 Ogos lalu kini boleh ditonton dalam saluran YouTube Nova Music.
Menjadi pengalaman pertamanya merakamkan lagu di studio, Wawa berharap kemunculannya bersama Syafiq menerusi lagu “Buat Insan Tersayang” itu dapat diterima baik. Diharapkan lebih ramai pendatang baharu akan lebih berani mengambil peluang seandainya diberikan kepercayaan serta ruang untuk merakamkan barisan lagu-lagu popular yang diberi nafas semula.
Meskipun mengakui berdebar saat kali pertama ‘dilamar’ untuk menyanyikan semula lagu tersebut, namun debaran yang dilalui ternyata membuahkan hasil yang baik selain dipuji peminat.
Video muzik rasmi lagu “Buat Insan Tersayang” yang dirakam di Desaru, Johor Bahru baru dimuatnaik ke saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada 5hb. Ogos ’22 yang lalu dan kini boleh ditonton di pautan ini <https://youtu.be/bBg1QjgMNKw>.