Sat. Jul 27th, 2024

    Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup hari ini telah melancarkan jenama “Pakej RAHMAH Insurans” dan “Pakej RAHMAH Takaful” yang diadakan semasa Perhimpunan Bulanan KPDN Bulan Jun 2023 di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya.

    Pelancaran kedua-dua jenama ini adalah seiring dengan hasrat KPDN yang memperluas pelaksanaan Program Payung RAHMAH agar turut meliputi segmen perlindungan diri dan harta benda (seperti kenderaan bermotor). Selain itu, pelancaran kedua-dua jenama ini turut menunjukkan perkembangan pelaksanaan Inisiatif Pakej RAHMAH semakin berkembang di seluruh negara yang dimulakan oleh sektor peruncitan, perhotelan/hospitaliti, fisioterapi dan farmasi.

    Seiring dengan pelancaran ini, KPDN amat berbesar hati dengan penyertaan jenama insurans “Allianz Malaysia” (diterajui oleh Allianz General Insurance (Malaysia) Berhad), dan jenama insurans dan takaful “Etiqa” (diterajui secara bersama oleh Etiqa General Insurance Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad) yang telah menyahut cabaran dengan memulakan pelaksanaan inisiatif ini melalui operasi perniagaan masing-masing.

    Inisiatif Pakej RAHMAH Insurans oleh Allianz General diperkenalkan melalui Insurans PerlindunganKu Allianz4All yang menawarkan perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM50,000.00. Produk ini juga memberi perlindungan sekiranya pemegang polisi dimasukkan ke Hospital Kerajaan akibat sakit atau kemalangan, termasuk tambahan dua manfaat baharu iaitu pembayaran balik perbelanjaan perubatan di Hospital Kerajaan dan bayaran bantuan kecemasan sekiranya berlaku pemindahan banjir sehingga RM750.00 bergantung kepada pelan yang dipilih. Manfaat baharu itu ditambah tanpa kos tambahan, dengan premium tahunan pada kadar RM53.00 dan RM79.50 (termasuk Cukai Jualan).

    Selain itu, Allianz General turut memperkenalkan perlindungan MotorcyclePlus yang menawarkan perlindungan tambahan seperti Kemalangan Diri sehingga RM10,000.00 untuk penunggang dan pembonceng motosikal serta Pendapatan Hospital yang dilaksanakan melalui polisi insuran kenderaan motorsikal berdasarkan kepada kapasiti enjin motorsikal yang didaftarkan. Bagi pemegang polisi Allianz MotorcyclePlus Komprehensif pula, pemegang polisi akan menikmati perlindungan Peril Khas dan Bantuan Tepi Jalan sehingga 50km dan Faedah Bantuan Banjir sebanyak RM1,000.00 tanpa kos di samping perlindungan sedia ada yang dinikmati oleh pelanggan Allianz MotorcyclePlus. Produk ini direka khas untuk Motosikal dengan kapasiti 250cc dan ke bawah.

    Manakala Inisiatif-Inisiatif Pakej RAHMAH Insurans dan Pakej RAHMAH Takaful oleh Etiqa diperkenalkan melalui Insurans Kemalangan Diri RAHMAH (oleh Etiqa General Insurance Berhad) dan Takaful Kemalangan Diri RAHMAH (oleh Etiqa General Takaful Berhad). Insurans Kemalangan Diri RAHMAH dan Takaful Kemalangan Diri RAHMAH oleh Etiqa akan memberi pampasan kepada peserta yang mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan atau penyakit, atau kematian akibat kemalangan dengan perlindungan bernilai sehingga RM80,000.00. Peserta pelan ini juga mempunyai fleksibiliti untuk membayar premium atau sumbangan bulanan hanya dengan RM5.00 atau tahunan dengan RM36.00 (termasuk Cukai Jualan). Pelan ini layak dimohon oleh seluruh rakyat Malaysia yang berusia antara 16 hingga 65 tahun dan boleh diperbaharui sehingga usia 70 tahun.

    KPDN berharap agar semua pelan yang ditawarkan melalui kedua-dua inisiatif akan membantu mendorong lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya golongan B40 untuk memiliki perlindungan insurans atau takaful, disamping menerapkan kepentingan memiliki insuran/takaful untuk perlindungan diri dan harta benda. Malah, KPDN amat mengalu-alukan semua pembekal perkhidmatan insurans dan/atau takaful yang berdaftar di Malaysia agar dapat memperkenalkan pelan-pelan yang dapat dilanggan dengan harga yang kompetitif melalui kedua[1]dua inisiatif yang dilancarkan melalui kedua-dua jenama yang dilancarkan pada hari ini. Semua pelan yang ditawarkan dan dilancarkan pada hari ini boleh diakses dan dilanggan dengan merujuk kepada laman-laman sesawang https://www.allianz.com.my dan https://www.etiqa.com.my untuk maklumat dan perincian selanjutnya.

    Turut berlangsung pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPDN Bulan Jun 2023, bagi menyokong agenda Kementerian, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah memperuntukan RM200 ribu di bawah Inisiatif Tunai RAHMAH bertujuan membantu golongan usahawan asnaf B40 terutamanya peniaga kecil yang memiliki harta intelek untuk melindungi serta mendaftar IP mereka. Inisiatif ini juga bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan kestabilan sumber pendapatan yang menyumbang ke arah peningkatan pertumbuhan ekonomi negara. Selain pendaftaran harta intelek, pemberian Bantuan IP2U RAHMAH termasuk sebagai modal pembelian peralatan perniagaan dengan jumlah RM3,000.00 setiap usahawan asnaf. Sebagai permulaan, seramai 10 orang usahawan asnaf di sekitar lembah klang terpilih untuk menerima sumbangan Bantuan IP2U RAHMAH yang disampaikan oleh YB Menteri KPDN.

    Dalam majlis yang sama, YB Menteri KPDN turut melancarkan aplikasi “IP2U” bagi memudahkan orang ramai terutamanya pemilik harta intelek untuk menyemak status pemfailan, membuat carian harta intelek dan menerima notifikasi tempoh tamat pendaftaran. Aplikasi yang dibangunkan MyIPO ini dihubungkan terus dengan Sistem Pengurusan Harta Intelek (SPHI) serta boleh diakses dengan lebih pantas menerusi peranti pintar.

    KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (cost of living) dalm situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini. Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.

    Program Payung RAHMAH adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.

     

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *