Wed. Feb 21st, 2024

    KUALA LUMPUR, 27 September 2023 – Sejak mula mengembara dalam dunia seni muzik tempatan, Yonnyboii, penyanyi hip hop yang pesat naik, terus mencipta karya-karya yang mempesonakan peminat genre ini.

    Pada tahun 2022, Yonnyboii mencapai puncak kejayaan dengan meraih Anugerah Album Terbaik dalam majlis kemuncak Anugerah Industri Muzik. Kemenangan gemilang ini membawanya pulang piala bergilir yang dinantikan serta Dana Kandungan Digital bernilai RM 200,000 daripada MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi Digital.

    Berkat bantuan geran tersebut, Yonnyboi telah berjaya berkarya dengan lebih meluas dan melahirkan album yang lebih berkualiti.

    Dana tersebut telah digunakan untuk setiap aspek pembikinan album termasuk penerbitan lagu, video muzik serta perbelanjaan pemasaran dan promosi.

    Salah satu rancangan pemasaran yang bakal diadakan adalah sebuah majlis pelancaran album yang istimewa. Ia bakal diadakan pada tanggal 7 Oktober 2023 di Putrajaya Challenge Park – Skatepark secara besar-besaran dari jam 4 petang hingga malam.

    Semestinya, ini bakal menjadi satu sejarah kerana belum ada penyanyi yang mengadakan pelancaran album di lokasi seperti ini dengan skala gergasi. Ramai dijangka bakal meluangkan waktu di acara tersebut.

    Di samping itu bintang ini juga pernah tercalon untuk anugerah muzik paling berprestij di Malaysia iaitu Anugerah Juara Lagu.

    Kini, bintang ini muncul lagi dengan sesuatu yang lebih istimewa iaitu sebuah lagi album penuh berjudul Persona. Album ini menceritakan perjalanan beliau dalam mencari jatidirinya yang sebenar, khasnya melalui muzik.

    Yonnyboii berkata, album ini menceritakan bagaimana dia mencari bunyi yang juga identitinya sendiri. Yonnyboii melalui beberapa persona untuk mencari identiti ini. Jadi album ini menggambarkan personanya dalam setiap lagu. Kesemua lagu dalam album ini berbeza-beza mengikut personanya yang bervariasi.

    Album ini turut menampilkan ramai nama-nama terkenal dalam arena hip hop serantau termasuk kawan-kawan baik Yonnyboii sendiri seperti SonaOne, MeerFly, Killa Driz, Guccimith, Alyph, Tommy King serta Adam E.

    “Kesemua mereka memberikan masukan yang berbeza dan mereka memang gila-gila. Saya senang sekali bekerjasama dengan mereka yang memang berbakat,” ulasnya mengenai kolaborasi bersama rakan-rakan seperjuangannya.

    Bila ditanya tentang cabaran dalam menghasilkan album ini, Yonny menjelaskan hanya satu cabaran yang nyata iatu dirinya terpaksa bijak membahagikan masa.

    Yonnyboii berkata, pada waktu album ini disempurnakan, waktu agak suntuk dan isterinya sedang hamil dan kemudian melahirkan anak mereka. Jadi Yonnyboii terpaksa menyelitkan masa untuk memberi perhatian pada isteri dan anak selain memastikan album siap dengan baik. Jadi itu cabaran tersebar untuk album ini.

    Yonnyboii turut berharap album ini bakal disukai oleh kesemua peminatnya sepertimana beliau menyukai album ini.

    Persona telah berada di semua platform digital bermula 22nd September 2023 ini.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *